Buruh dijel 124 tahun, 92 sebatan ‘noda’ dua anak kandung

8 hours ago 4

MUAR – Derita dua beradik perempuan yang menjadi mangsa cabul, rogol dan liwat bapa kandung sendiri selama 11 tahun lalu terbalas apabila lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara 124 tahun dan 92 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bapa dua beradik berusia 44 tahun dijatuhi hukuman terbabit selepas mengaku bersalah terhadap kesemua 14 pertuduhan yang dikemukakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Buruh sawit itu dipenjara 21 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan yang kini berusia 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa sejak berusia lima tahun di rumahnya di Batu Pahat pada waktu siang dan malam antara tahun 2014 hingga 2022. Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (d), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Bagi pertuduhan keempat hingga ke-14, dia didakwa merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak sulungnya yang kini berusia 17 tahun di lokasi berbeza termasuk pondok dalam kebun sawit dan stor antara tahun 2014 hingga Mei 2025.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (d) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan hukuman mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 14 (a) dan (d) berjalan serentak manakala Seksyen 16, tambahan hukuman berjalan sebaik selesai hukuman pertama.

Ini bermakna, bagi kesemua 14 pertuduhan, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 22 tahun penjara manakala sebatan 24 kali memandangkan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah menetapkan maksimum sejumlah itu.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat selepas ibu mangsa yang juga isteri tertuduh dipanggil pihak sekolah susulan prestasi kedua-anaknya merudum.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya menceritakan kepada guru dan ibunya yang mereka dirogol, diliwat dan dicabul bapanya sejak mereka berusia lima dan enam tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis dua tahun sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |