SHAH ALAM – Siasatan segera akan dilakukan dalam merungkai misteri bunyi seakan letupan kuat yang berlaku pada malam hingga awal pagi di sekitar daerah ini sejak beberapa hari lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya memandang serius perkara itu memandangkan ia boleh menyebabkan kacau ganggu atau ketenteraman rutin harian penduduk.
Katanya, pengesanan bunyi itu penting agar tidak menimbulkan kekhuatiran penduduk setempat.
“Dalam media sosial, memang ada rungutan dan terdapat bunyi kuat sehingga boleh didengari pada jarak yang jauh (sekitar Shah Alam).
“Kita pandang serius dan cuba sedaya upaya menerusi pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencari puncanya yang masih menjadi misteri hingga kini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kilang Tanpa Kebenaran Selangor, hari ini.
Kata Suee Lim, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku dan pernah dilaporkan termasuk di Perak sebelum ini, namun tidak ketahui puncanya.
“Ada yang kata bunyi letupan, ada yang kaitkan dengan UFO (objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti). Kita akan minta MBSA siasat secara mendalam dan kalau perlu, kita minta kerjasama polis.
“Unit Perancang Ekonomi Negeri turut akan digerakkan bagi menyelaraskan tindakan bersama pasukan penguat kuasa dan rondaan pantas bagi membantu menyiasat lokasi dan sumber bunyi tersebut,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya enggan membuat sebarang spekulasi dan andaian rambang dengan cuba menyelesaikannya isu tersebut secepat mungkin.
“Kalau dapat kenal pasti puncanya, kita akan umumkan kepada orang ramai agar tidak mencetuskan fobia kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial berhubung aduan bunyi seakan letupan sehingga boleh didengari di sekitar pusat bandar Shah Alam, Denai Alam dan Setia Alam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim turut mengambil maklum berhubung perkara itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk berhubung dengan balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE