Bunuh rakan angkara hutang RM1,000

3 hours ago 5

TANGKAK – Seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya dengan sembilan tikaman menggunakan pisau pemotong sayur, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Cho Min Tun, 24, ketika pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat memandang tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu.

Tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), hanya menggeleng kepala ketika ditanya jurubahasa sama ada dia boleh memahami Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh hingga menyebabkan kematian ke atas San Maung Thein, 39, di Jalan Kemajuan Off Jalan Paya Mas, di sini, antara pukul 5.15 hingga 5.40 petang, 11 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai ini untuk kehadiran jurubahasa serta tiada tawaran ikat jamin diberikan terhadapnya.

Dalam kejadian itu, polis menemui sembilan tikaman dengan empat daripadanya di leher selain di dada mangsa yang ketika itu berlumuran darah.

Tertuduh didakwa menikam mangsa kerana hutang lebih RM1,000 gagal dilunaskan lelaki terbabit.

Selepas menikam rakan, tertuduh melarikan diri ke Melaka dengan menaiki e-hailing sebelum ditahan dua hari kemudian.

Di mahkamah sama, rakan tertuduh, Maung Lin Ko Ko, 39, dituduh tidak memiliki sebarang dokumen mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Kes disebut semula pada 1 Julai untuk sebutan kehadiran jurubahasa dan tiada ikat jamin ditawarkan memandang tertuduh warga asing. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |