PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam permohonan mereka untuk memulakan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas menolak permohonan semakan tersebut.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.
Semasa prosiding peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar, 65, dan Zizie Izzette, 47, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Pada 18 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.
Terdahulu pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang mendengar keseluruhan perbicaraan diperingkat pendakwaan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Pada April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen baharu yang akan mendengar bicara bela diri tersebut membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menggantung prosiding pembelaan mereka.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, sehingga permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri atas pertuduhan berkenaan diputuskan.
Hakim Rosli kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September 2025. – KOSMO! ONLINE