CIC kedua di Taiping jadi pusat rujukan serantau

5 hours ago 3

TAIPING – Pembukaan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) kedua di Simpang di sini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap kanak-kanak mangsa jenayah malah berpotensi menjadi pusat rujukan serantau bagi negeri-negeri utara tanah air.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak, Senior Asisten Komisioner Luqman Abdul Rahman berkata, CIC berkenaan diwujudkan hasil inisiatif Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak sebagai perluasan kemudahan sedia ada yang bersifat strategik dan berwawasan.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan fasiliti baharu tetapi merupakan manifestasi komitmen berterusan PDRM dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan kanak-kanak khususnya mangsa penderaan, pengabaian dan jenayah seksual.

“Ia mencerminkan profesionalisme yang cemerlang serta keberanian institusi ini untuk berinovasi dalam mewujudkan suasana yang selamat, mesra dan kondusif buat kanak-kanak,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Polis Perak semasa merasmikan pusat itu di Simpang di sini hari ini.

Menurut Luqman, CIC kedua itu turut dilengkapi dua kaunselor terlatih dan kemudahan temuduga berkonsepkan mesra psikologi bagi memastikan mangsa kanak-kanak dapat memberi keterangan dalam keadaan tenang tanpa rasa trauma.

Beliau berkata, pusat itu turut dibuka kepada penggunaan agensi luar termasuk dari negeri-negeri jiran seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sekiranya melibatkan saksi atau mangsa kanak-kanak di kawasan utara Semenanjung.

“Dengan prosedur siasatan beretika, berperikemanusiaan dan berkesan, CIC ini mampu mempercepatkan proses penyiasatan serta melindungi aspek emosi dan psikologi mangsa dengan lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) kekal menjadi teras kepada perlindungan undang-undang bagi keterlibatan kanak-kanak dalam sistem keadilan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |