WASHINGTON – Dua kakitangan kedutaan Israel ditembak mati lewat semalam di luar sebuah muzium Yahudi di Washington oleh seorang lelaki bersenjata yang melaungkan slogan ‘bebaskan Palestin,’ kata pihak berkuasa.
Presiden Donald Trump segera mengutuk serangan itu dan berkata: “Pembunuhan kejam di Washington jelas antisemitik, ia mesti berakhir SEKARANG!”
“Kebencian dan Radikalisme tiada tempat di Amerika Syarikat,” katanya di platform Truth Social.
Insiden tembakan itu berlaku di kaki lima di luar Muzium Yahudi Capital, manakala polis Washington mengesahkan suspek penembak berjalan masuk ke muzium selepas melepaskan tembakan dan telah ditahan.
“Kami percaya tembakan itu dilakukan oleh hanya seorang suspek yang kini ditahan.
“Sebelum kejadian, suspek dilihat mundar-mandir di luar muzium. Dia menghampiri sekumpulan empat orang, mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan.
“Selepas itu, suspek berjalan masuk ke dalam muzium dan ditahan oleh kakitangan keselamatan,” kata Ketua Polis Washington, Pamela Smith kepada pemberita.
Beliau berkata suspek menunjukkan lokasi dia membuang senjata api dan menjerit ‘Bebas, bebaskan Palestin.’
Polis mengenal pasti suspek sebagai Elias Rodriguez, 30, dari Chicago.
Pamela berkata semasa sidang akhbar bahawa polis bertindak balas selepas menerima laporan kejadian tembakan berhampiran muzium itu sekitar pukul 9.00 malam (waktu tempatan).
Apabila pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, seorang lelaki dan seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dan tidak bernafas. Usaha menyelamatkan mangsa gagal dan disahkan meninggal dunia. – AFP