Trump bertengkar dengan Presiden Afrika Selatan di White House

5 hours ago 4

WASHINGTON –  Pertemuan Donald Trump dan rakan sejawat beliau, Cyril Ramaphosa bertukar tegang apabila Presiden Amerika Syarikat(AS) berkenaan menyiarkan rakaman video dakwaan pembunuhan rakyat kulit putih di Afrika Selatan.

Agensi berita United Press International (UPI) melaporkan, pertemuan di White House itu sepatutnya membincangkan secara lanjut mengenai hubungan perdagangan dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Seorang wartawan kemudian  bertanya kepada Trump tentang apa yang beliau perlukan untuk percaya bahawa tiada pembunuhan beramai-ramai penduduk kulit putih berlaku di Afrika Selatan.

Sebaliknya, Ramaphosa menjawab soalan itu dengan berkata, Trump perlu mendengar suara rakyat Afrika Selatan.

Katanya, jika berlaku pembunuhan beramai-ramai seperti didakwa, delegasi kulit putih Afrika Selatan tidak akan turut serta dalam mesyuarat itu.

Trump kemudian menyambung kenyataan Ramaphosa dengan berkata, beliau telah mendengar ribuan cerita, dokumentari dan berita tentang keganasan terhadap orang kulit putih di Afrika Selatan.

Trump kemudian meminta klip video disiarkan, memaparkan montaj penduduk kulit hitam Afrika Selatan mengisytiharkan ancaman keganasan terhadap orang kulit putih.

Ia diikuti rakaman yang didakwa Trump sebagai tapak pengebumian lebih 1,000 petani kulit putih. Klip Video itu ditayangkan pada skrin besar di pejabat rasmi Presiden AS, Oval Office.

“Saya tidak tahu (untuk mempecayai kenyataan Ramaphosa), semua ini adalah artikel sejak beberapa hari lalu menunjukkan kematian orang, kematian, kematian, kematian, kematian yang mengerikan,” kata Trump.

Perbalahan antara dua pemimpin itu kemudian berlarutan selama lebih setengah jam dan disiarkan di televisyen. 

Ramaphosa selepas itu berkata, beliau mengadakan sesi ‘pertukaran pendapat yang mendalam’ dengan Trump. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |