Buku healing, teman jiwa di kala duka

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Buku berunsur pemulihan jiwa atau sering disebut buku ‘healing’ antara yang menjadi pilihan pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, sejak minggu lalu.

Golongan muda, terutamanya, dilihat semakin cenderung mendapatkan bahan bacaan bersifat penyembuhan dan motivasi diri dalam usaha memperbaiki emosi serta membina semangat hidup yang lebih positif.

Seorang pengunjung, Amiratul Jannah Mat Zais, 26, berkata, dia sememangnya gemar membaca buku genre sebegini kerana ia memberi ruang untuk dirinya bermuhasabah dan menjadi individu yang lebih baik.

“Saya suka buku healing sebab ia buat saya menginsafi diri sendiri lebih-lebih lagi bila umur makin meningkat, kita mula fikir tentang kehidupan, emosi dan perjalanan diri.

“Buku-buku seperti ini juga bantu saya memahami diri dan belajar untuk tenang mengawal emosi sendiri,” katanya.

Bagi Nursyazwana Mohd Zaini, 28, kehadirannya ke pesta buku kali ketiga ini membuka peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu selepas sekian lama hanya membaca novel cinta.

“Saya baru nak berjinak-jinak baca buku motivasi. Dulu saya banyak baca novel cinta, tapi sekarang saya cuba cari bahan bacaan yang boleh bantu saya bangkit dan beri inspirasi.

“Semakin dewasa, saya rasa kita perlukan bacaan yang lebih bermakna. Buku motivasi ini buat saya sedar tentang nilai diri dan cara hadapi tekanan hidup pada zaman sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Amirul Hafiz, 30, mengakui buku healing menjadi peneman setia ketika melalui fasa sukar dalam hidup.

“Bila sedih atau tertekan, saya akan baca buku-buku healing. Ia macam ubat untuk hati saya.

“Buku motivasi begini merupakan antara sumber kekuatan dan ketenangan buat saya. Membacanya bantu saya sembuh dari dalam jiwa dan lebih menghargai kehidupan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |