Bukan sekadar cerita kematian, tetapi hidup yang ‘direbus’ dendam

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Melihat perkembangan landskap gastronomi tempatan, CTRA Production bersama Peran Opera mengambil langkah mengetengahkan sisi lain industri makanan dan minuman (F&B) menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah, sebuah pementasan satira jenayah dengan sentuhan muzikal dan elemen interaktif.

Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan berkata, bidang kulinari pada era ini tidak lagi tertumpu kepada kemahiran memasak semata-mata kerana pelbagai cabang kreatif serta teknikal mampu diterokai sehingga membuka ruang kerjaya lebih luas.

“Inisiatif ini juga satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan serta mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke tahap profesional.

“Kebiasaannya, apabila disebut aktiviti memasak, kita hanya terbayang dapur di rumah. Sedangkan industri F&B sangat luas jika diterokai dengan sebaik-baiknya.

“Menerusi bidang kulinari, anak muda berpeluang menjadi cef di hotel atau restoran terkemuka, cef selebriti, usahawan produk makanan dan minuman, pengusaha restoran malah pempengaruh makanan di media sosial,” katanya.

Tambah Siti Rohayah, potensi besar bidang kulinari serta popularitinya dalam karya drama tempatan dan antarabangsa mendorong pihaknya memilih pendekatan mendidik sambil menghiburkan penonton.

“Kita melihat potensi bidang kulinari membantu membina kerjaya terbaik.

“Bukan itu sahaja, popularitinya sering diangkat dalam drama tempatan mahupun luar negara, disebabkan itu CTRA Production turut mengambil tema serupa dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur,” ujarnya.

Diarahkan merangkap penulis skrip, Aloeng Silalahi, menyifatkan naskhah berkenaan sebagai karya baharu dalam siri pementasan jenayah interaktif.

“Dicipta dengan gabungan naratif satira, struktur muzikal dan pendekatan site-responsive, pementasan ini merentas tema kuasa, warisan, isu toksik di tempat kerja serta nilai kemanusiaan terselindung di sebalik dapur sebuah restoran.

“Ringkasnya, Teater Muzikal Tomyam Berdarah bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti. Semua itu disajikan dalam satu periuk tomyam,” tuturnya.

Lebih menarik, konsep interaktif pementasan itu turut membuka ruang kepada penonton cilik dan remaja untuk menggunakan daya fikir secara aktif apabila mereka berpeluang bertindak sebagai ‘penyiasat’ dalam usaha mengenal pasti dalang sebenar di sebalik kes pembunuhan.

Dari sudut cerita, Teater Muzikal Tomyam Berdarah mengetengahkan sebuah restoran yang sedang membuat persiapan menyertai pertandingan Master Chef Universe.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan selama tiga hari berturut-turut pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Antara barisan pelakon terlibat termasuklah Karl Shafek dan Juhara Ayob.

Sementara itu, CTRA Production mempunyai rekod panjang dalam penerbitan teater apabila sudah menerbitkan lebih 50 karya sejak 1994 di seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia.

Antara karya pernah diterbitkan CTRA Production termasuklah, Teater Muzikal Sulalatus Salatin, Cik Ros, Nyonya, Di Bawah Lindungan Kaabah, Teater Muzikal Tun Mahathir, Lantai T.Pinkie dan Teater Muzikal Ibu Zain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |