PETALING JAYA – Seorang budak lelaki hampir maut selepas dipercayai tersedak belon getah ketika bermain bersama rakan-rakannya dalam satu majlis sambutan hari lahir yang diadakan oleh keluarganya di rumah mereka pada 20 Mei lalu.
Insiden cemas itu dikongsikan oleh Nurul Huda Zulkhairi ibu kepada kanak-kanak tersebut menerusi laman Facebook miliknya semalam.
Menurut Nurul Huda, kejadian berlaku ketika sambutan hari lahir apabila anaknya, Uwais Al Fateh tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas sebelum tidak sedarkan diri.
“Saya dan suami sedang melayan tetamu, manakala anak saya bermain-main dengan rakannya. Ketika itu, dia sempat minum air dan kembali sambung bermain lari-lari dalam rumah,” katanya.
Keadaan mula mencemaskan apabila adik iparnya (Zahidah), menyedari Uwais menunjukkan tanda-tanda semput memandangkan kanak-kanak itu pernah menghidap asma.
“Suami saya terus mahu mengambil alat sedut asma yang memang kami sentiasa sediakan.
“Namun, sejurus selepas itu, adik ipar saya yang seorang lagi (Nabil), berlari membawa Uwais dalam keadaan tubuhnya sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri. Ketika itu, jantungnya telah berhenti,” ujarnya.
Tambahnya, suaminya bersama seorang kenalan cuba memberikan bantuan kecemasan kerana menyangka Uwais tersedak makanan.
“Keadaan sangat kritikal. Suami saya terpaksa memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut. Kami terus bergegas ke hospital dan ketika itu peluang Uwais untuk hidup hanya 50-50,” jelasnya.
Katanya, setibanya di Jabatan Kecemasan Hospital Kulim, pasukan perubatan bertindak pantas dan mendapati terdapat objek asing di saluran pernafasan Uwais.
“Ketika proses intubasi, doktor menemui belon yang tersangkut dalam saluran pernafasannya. Doktor segera mengeluarkan belon itu dan menyambung prosedur penyelamatan. Alhamdulillah, nyawa anak saya berjaya diselamatkan,” katanya.
Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan rapi.
Mengulas semula detik mencemaskan itu, dia percaya insiden berlaku ketika Uwais bergurau dengan rakannya dengan memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari menyebabkan belon itu terperangkap di saluran pernafasan.
“Kini anak saya berada dalam keadaan stabil dari segi tekanan darah, denyutan nadi serta paras oksigen, namun masih dalam proses merehatkan otak.
“Uwais masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima dua beg darah. Terdapat juga kesan pendarahan pada paru-paru, kemungkinan akibat teknik CPR yang dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE