Bolehkah pemberi tak halalkan pemberiannya?

6 hours ago 2

Beberapa tahun lepas, kakak pernah memberi sejumlah duit kepada saya sewaktu dalam kesusahan. Saya ingin membayar semula secara ansuran tetapi dia menolak dan berkata, dia ikhlas sedekah untuk membantu saya. Kebelakangan ini, timbul salah faham antara kami yang menyebabkan dia marah dan mengungkit semula pemberiannya. Dia tidak menghalalkan duit dan apa-apa makan yang dia pernah tanggung dahulu. Jadi, perlukah saya membayar semula duit dan kos makan minum tersebut?

JAWAPAN: ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima, ia telah menjadi hak milik penerima tersebut sepenuhnya dan dia boleh menggunakan harta itu sebagaimana yang dia mahu.

Pemberi pula sudah hilang hak pemilikannya terhadap wang yang diberi tersebut. Oleh itu, pemberi tersebut tiada kuasa untuk enggan menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian yang termasuk dalam sabda Nabi SAW: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”

Dalam hadis lain pula disebut secara jelas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.” (Riwayat Abu Daud, 3539 dan al-Tirmizi, 2132)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman meminta semula pemberian seperti haram menelan semula minta dan ia merupakan sifat buruk yang bertentangan dengan akhlak seorang muslim. Namun, Nabi SAW mengecualikan situasi seorang bapa menuntut semula pemberian daripada anaknya seperti yang telah dijelaskan lanjut dalam artikel, Al-Kafi #1627: Adakah Bapa Boleh Menuntut Semula Pemberiannya Kepada Anaknya?

Di samping itu, kata-kata tersebut juga termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan penerimanya.

Perbuatan ini haram dan boleh meluputkan pahala sedekah. Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu merosakkan (pahala amalan) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan penerimanya) seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia sedangkan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat.

“Maka orang itu diumpamakan seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian apabila hujan lebat menimpa batu itu, lalu bersih dan licinlah kembali (tiada lagi tanah di atasnya).

“Mereka tidak memperoleh sesuatu atas apa-apa yang diusahakan oleh mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah: 264)

Kesimpulan pertama, segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang telah diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.

Kedua, pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.

Akhir sekali, perkataan, “aku tidak menghalalkan pemberian” dikira sebagai ungkitan pemberian yang boleh meluputkan pahala sedekah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |