WASHINGTON – Boeing akan membayar denda dan pampasan lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) bagi mengelak pendakwaan jenayah berhubung dua nahas melibatkan pesawat 737 Max yang menyebabkan 346 orang terkorban, kata Jabatan Kehakiman kelmarin seperti laporan akhbar The New York Post.
Perjanjian ‘bebas pendakwaan’ membolehkan gergasi aeroangkasa itu mengelak dilabelkan sebagai penjenayah berhubung dua nahas tersebut. Bagaimanapun, keputusan itu dikecam oleh ramai waris mangsa yang mendesak pendakwa raya untuk membawa Boeing ke muka pengadilan.
Seorang peguam mewakili keluarga mangsa dan dua senator Amerika Syarikat (AS) telah menggesa Jabatan Kehakiman untuk tidak membatalkan pendakwaannya tetapi kerajaan AS segera menolak permintaan tersebut.
“Perjanjian bebas pendakwaan seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini dan jelas salah untuk jenayah korporat paling berdarah dalam sejarah AS. Saya akan membantah dan berharap dapat meyakinkan mahkamah untuk menolaknya,” kata peguam berkenaan, Paul Cassell.
Boeing bersetuju untuk menyalurkan bayaran tambahan AS$444.5 juta (RM1.8 bilion) ke dalam dana mangsa nahas yang akan dibahagikan sama rata kepada setiap mangsa (diterima oleh waris mereka) sebagai tambahan kepada denda AS$243.6 juta (RM1 bilion).
Jabatan Kehakiman akan memfailkan perjanjian bertulis dengan Boeing menjelang akhir minggu depan. Boeing juga tidak lagi menghadapi pengawasan oleh badan pemantau bebas di bawah perjanjian itu.
Boeing akan membayar lebih AS$1.1 bilion termasuk denda dan pampasan kepada waris mangsa dan lebih daripada AS$455 juta (RM1.88 bilion) untuk mengukuhkan program pematuhan, keselamatan, dan kualiti syarikat, kata Jabatan Kehakiman.
“Boeing mesti terus meningkatkan keberkesanan program pematuhan dan etika anti penyelewengannya dan mengekalkan perunding pematuhan bebas,” kata jabatan itu kelmarin.
“Kami yakin resolusi ini adalah hasil yang paling adil dan praktikal,” tambahnya.
Boeing tidak segera membalas permintaan untuk komen.
Pembuat kapal terbang dan kontraktor tentera utama itu dijadualkan berdepan perbicaraan pada 23 Jun ini berhubung penerbangan Lion Air yang terhempas pada Oktober 2018 dan nahas penerbangan Ethiopian Airlines, beberapa bulan kemudian. – AGENSI