Bintang Bollywood berseteru sebab perang India, Pakistan

4 hours ago 2

KONFLIK peperangan yang tercetus antara India dan Pakistan sedang mendapat perhatian seluruh dunia. Kedua-dua negara saling membalas serangan menggunakan jet pejuang yang berlangsung selama empat hari sebelum genjatan senjata dilaksanakan.

Ketegangan yang berlaku di antara kedua-dua negara tersebut menjejaskan pelbagai sektor termasuklah industri perfileman.

Kini artis dan penggiat industri seni kreatif terutama dari Pakistan tidak lagi dibenarkan untuk bekerja di India.

Pelakon filem Sanam Teri Kasam, Harshvardhan Rane baru-baru ini meluahkan keengganannya untuk berlakon sekuel filem tersebut seandainya heroinnya iaitu pelakon kelahiran Pakistan, Mawra Hocane dikekalkan.

Menerusi hantaran dalam media sosial, Harshvardhan memberitahu tidak akan kembali jika Mawra dikekalkan serta mengecam aktres itu yang telah mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan tentera India terhadap Pakistan.

“Saya bersyukur dengan pengalaman terlibat dalam filem ini tetapi selepas membaca komen yang dibuat mengenai negara saya, saya telah membuat keputusan untuk menolak menjadi sebahagian daripada filem Sanam Teri Kasam 2 jika ada pelakon terdahulu (Mawra) dikekalkan.

“Saya menghormati setiap artis dan manusia dalam negara ini, negara itu (Pakistan), Kenya atau planet Mars, tetapi jika ada yang menghina negara saya, itu sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Saya tak kisah jika hilang pengikut akaun Instagram, tetapi saya tak akan benarkan sesiapa pun melangkaui batas. Mempertahankan negara anda tidak salah tetapi menghina dan membenci negara lain itu adalah salah,” tulisnya dalam satu kenyataan.

PERANG antara Pakistan dan India juga telah mencetuskan pergaduhan antara dua pelakon, Harshvardhan (gambar) dan Mawra.

Strategi ‘PR’

Tidak hanya berdiam diri, Mawra dilihat membalas kenyataan Harshvardhan dengan menggelar aktor itu cuma menunggang isu perang sebagai ‘PR strategy’ demi menempa populariti di Bollywood.

“Kenapa dia perlu mengheret nama saya dalam konflik ini? Itupun selepas sembilan tahun kami berlakon bersama.

“Tak perlu jadikan isu ini sebagai batu loncatan untuk menjadi relevan di Bollywood.

“Lihat sekeliling kamu, lihat apa yang berlaku! Kita semua mendengar bunyi letupan.

“Kanak-kanak di negara saya mati akibat serangan pengecut yang tidak wajar. Nyawa yang tidak berdosa terkorban. Negara kita sedang berperang dan ini yang anda lakukan? Mengeluarkan kenyataan demi publisiti?

“Sayang sekali! Saya sentiasa menunjukkan rasa hormat, kasih sayang dan terima kasih kepada semua orang yang pernah bekerja dengan saya dan saya akan terus berbuat demikian,” balasnya.

Perang media sosial

Perang siber dua pelakon berlanjutan apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan. Harshvardhan dan Mawra pernah mencetuskan fenomena tersendiri selepas membintangi filem Sanam Teri Kasam pada 2016.

Biarpun filem arahan Radhika Rao itu gagal di pawagam, namun peminat mula menghargai filem tersebut selepas ditayangkan dalam televisyen dan platform penstriman (OTT).

Awal tahun ini, Sanam Teri Kasam telah ditayangkan semula di pawagam dan berjaya mengumpul kutipan tiket melebihi tayangan pada sembilan tahun lepas sehingga mencipta rekod sebagai filem tayangan semula yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah.

Atas kejayaan tersebut, penerbit memutuskan untuk menerbitkan sekuel Sanam Teri Kasam dengan mengekalkan hero dan heroin asal.

Impian peminat untuk melihat Harshvardhan dan Mawra kembali bersatu dalam sekuel filem berkenaan nampaknya akan lebur begitu sahaja selepas nama Mawra digugurkan daripada membintangi naskhah tersebut.

Ketegangan yang berlaku di India dan Pakistan ternyata mencetuskan kebencian terhadap artis kedua-dua negara. Wajah pelakon-pelakon Pakistan lain yang terlibat dengan filem Bollywood telah dipadam dalam semua platform, malah akaun media sosial mereka turut disekat di India.

Read Entire Article
Pertanian | | | |