KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 15 hari bermula tahun depan bagi perbicaraan kes Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad.
Tarikh-tarikh itu ialah 13 hingga 17 April , 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh-tarikh itu selepas pihak-pihak bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober ini bagi pengurusan kes.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Vivy dan Fadzarudin tidak hadir ke mahkamah kerana kehadiran mereka dikecualikan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Vivy dan Fadzarudin diwakili peguam M.Athimulan.
Pada 5 Disember tahun lalu Vivy dan Fadzarudin didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kemudian pada 22 Januari lalu, pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 28 November lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.- KOSMO! ONLINE