Belum terima surat saman – Asyraf Wajdi

7 hours ago 5
ASYRAF WAJDI Dusuki bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!
  • Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
  • 4 September 2025, 4:46 pm

MELAKA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang surat saman daripada ibu bapa bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dibuang kerana kesalahan buli.

Beliau berkata, pihak terbabit juga tidak mempunyai asas yang kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan Mara.

“Setakat ini saya belum terima apa-apa surat tuntutan lagi. Sebenarnya saya pun tertanya-tanya atas alasan apa yang hendak saman kerana proses yang kita lakukan itu mengikut apa yang ada dalam peraturan Mara.

“Kami bukan mahkamah untuk tentukan secara tuntas bersalah atau tidak tapi prinsip saya jelas, walaupun tidak popular dan ramai yang mempersoalkan konteks ‘you touch you go’ tetapi itulah yang memberikan gambaran keseriusan kita dalam menangani isu buli tanpa mengira darjat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Koleh Profesional Mara Bandar Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Asyraf mendedahkan ada ibu bapa bekas pelajar MRSM mahu memfailkan saman terhadapnya dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu kerana bertindak tegas dalam mengendalikan kes buli. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |