MELAKA – Lima lelaki didenda keseluruhan RM32,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memukul rakan mereka menggunakan dua batang besi sehingga cedera gara-gara perselisihan faham berkaitan wang, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsul Arif Sadon, 42; Chee Yee Hao, 32; Chong Man Fai, 26; Tan Cheng Hock, 33, dan Mohamad Ajmal Kunumon, 27, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki warganegara China, Zhang Xiaobio menggunakan dua batang besi yang merupakan alat untuk mencederakan orang.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 7 malam, 20 Julai lalu hingga pukul 2 pagi, 21 Julai lalu di Admiral Residence dalam daerah Melaka Tengah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yee Hao bersama seorang lagi tertuduh, Chen Xianfei, 40, turut didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan terhadap Huang Ruidian dengan merampas jam tangan Patek Philippe tanpa alasan munasabah pada tempat dan masa yang sama.
Xianfei juga didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama kerana berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang.
Terdahulu, peguam Yong Jei Beng yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan mereka telah insaf selepas ditahan di lokap polis selain sebahagiannya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga.
Menurutnya, kesemua tertuduh dan mangsa saling mengenali dan pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thivia yang memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,500 terhadap setiap tertuduh bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, selain denda RM4,500 masing-masing terhadap Yee Hao dan Xianfei bagi pertuduhan pemerasan serta RM5,000 terhadap Xianfei bagi kesalahan imigresen.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda. Kesemua mereka kemudian menjelaskan bayaran denda masing-masing.-KOSMO! ONLINE

12 hours ago
4
![[VIDEO] Penganjur RXZ Members digesa beri anugerah kepada ‘Pak Su Tomoi’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/d1cd6874-dae9-4887-9372-773c573d6ae4.jpeg)

















![[VIDEO] ‘Mereka ada duit, kita ada Allah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/PENGAWAL-PERIBADI-DIPUKUL-MAJIKAN-e1785320792848.jpeg)






























