KOTA BHARU – Sudah bekerja selain terpengaruh dengan rakan-rakan merupakan antara alasan yang diberikan oleh murid dan pelajar selepas disahkan mengalami keciciran pembelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, alasan-alasan tersebut diberikan oleh murid dan pelajar bukan hanya di Kelantan malah ia berlaku di seluruh negara.
Menurutnya, selain itu, sakit dan kemiskinan juga merupakan antara faktor lain diberikan oleh murid atau pelajar yang keciciran pembelajaran.
“Bukan hanya di Kelantan, pelajar yang sudah bekerja dan terpengaruh dengan rakan-rakan menjadi alasan mereka yang tercicir pelajaran. Sakit dan kemiskinan juga merupakan antara faktor kepada masalah itu.
“Secara dasarnya, keciciran pembelajaran di Kelantan tidak kronik dan kritikal. Terdapat banyak langkah intervensi yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua dan guru besar untuk mengurangkan masalah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mohd. Azam memberitahu, Kementerian Pendidikan (KPM) juga membuat penilaian atau analisis dari semasa ke semasa mengenai keciciran pembelajaran dalam kalangan murid atau pelajar.
Menurutnya, di Kelantan misalnya, daerah Kota Bharu dan Gua Musang menunjukkan jumlah pelajar yang paling ramai tercicir pada tahun ini, namun mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu.
“Kita tidak menafikan bahawa kemiskinan merupakan salah satu faktor keciciran pembelajaran, tetapi terdapat 16 jenis bantuan khusus dan umum untuk anak-anak di sekolah.
“Jadi, jika mereka hadir ke sekolah, bantuan itu boleh dimohon melalui pertimbangan daripada pengetua dan guru besar untuk mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE