BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra diperintah membayar ganti rugi 10.02 bilion baht (RM1.3 bilion) berhubung pertuduhan menjalankan skim cagar beras, lapor portal berita Thaiger semalam.
Mahkamah Pentadbiran Tinggi membatalkan keputusan mahkamah sebelum ini yang membebaskan Shinawatra daripada liabiliti kewangan. Dalam keputusan terbaharu, mahkaman berkenaan menyatakan, Yingluck perlu bertanggungjawab kerana gagal menghentikan penipuan penjualan beras ‘kerajaan-ke-kerajaan’ (G-to-G) semasa memegang jawatan.
Keputusan itu menandakan perubahan penting dalam ‘drama’ undang-undang selama bertahun-tahun yang membayangi kegagalan dasar paling kontroversial di Thailand.
Kementerian Kewangan pada awalnya menuntut ganti rugi 35.7 bilion baht (RM4.6 bilion), dengan Jabatan Pelaksanaan Undang-Undang mengarahkan aset Yingluck dan suami, Anusorn Amorchat dirampas.
Mahkamah sebelum ini membatalkan kedua-dua perintah itu dengan mengatakan bukti tidak menyokong penalti yang begitu besar.
Bagaimanapun, Mahkamah Pentadbiran Tinggi memutuskan Yingluck perlu membayar separuh daripada jumlah 20,057 bilion baht (RM2.6 bilion) sebagai ganti rugi akibat perjanjian beras G-to-G yang korup.
“Beliau gagal dalam tugas sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Dasar Beras Negara,” kata mahkamah sambil menyatakan Yingluck tidak mengendahkan amaran daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara serta Pejabat Audit Negeri.
Mahkamah turut mengarahkan Jabatan Pelaksanaan Undang-Undang untuk membatalkan pembekuan aset ke atas harta milik suaminya, dengan menyatakan bahawa aset selepas perkahwinan perlu dibahagikan.
Pihak berkuasa diberikan masa 60 hari untuk memisahkan aset Anusorn daripada baki harta Yingluck yang dibekukan dan akan dilelong untuk pembayaran pampasan tersebut. – AGENSI