KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM70,000 tanpa balasan.
Tertuduh, Datuk Ir. Norman Md. Rabani, 51, membuat pengakuan itu selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai RM70,000 dengan tanpa balasan daripada seorang subkontraktor yang mempunyai kepentingan dengan sebuah syarikat penyelenggaraan bangunan di Sunway Putra Mall di antara 10 Ogos 2024 dan 23 Januari lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon jumlah jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya bukan ahli perniagaan sebaliknya penjawat awam yang telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan sudah direman selama empat hari.
Menurutnya, tertuduh juga perlu menanggung empat orang anak berusia antara 16 dan 24 tahun yang masih belajar serta ibu bapa tertuduh memerlukan perbelanjaan bagi ubat-ubatan.
“Penjamin kepada tertuduh adalah isterinya yang merupakan pensyarah universiti. Jika jumlah jaminan terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan kewangan kepada tertuduh dan keluarganya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos ini untuk tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE