BDB catat keuntungan RM4.51 juta

21 hours ago 4

PETALING JAYA – Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, dengan pendapatan sebanyak RM294.7 juta berbanding RM14.47 juta dan RM313.1 juta pada tahun 2023.

Meskipun berdepan dengan prestasi kewangan yang lebih perlahan, BDB kekal optimistik mengenai prospek pertumbuhan jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pihaknya akan terus
memperkasa perniagaan teras yang menjadi tunjang operasinya, dengan memberi penekanan terhadap kecekapan pengurusan sumber bagi meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan yang akan datang.

“Kumpulan terus menggiatkan pengembangannya di Wilayah Utara melalui pelaksanaan beberapa projek strategik berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, pembangunan hartanah dan ekonomi perak, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju utama dalam menjana pertumbuhan mampan di rantau tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raja Shahreen, dalam divisyen pembangunan hartanah, BDB telah melancarkan Fasa 1 daripada 3 Fasa Perbandaran Darulaman Saujana di Hosba, Kubang Pasu yang kini telah pun dibuka untuk jualan.

Projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM74.02 juta ini melibatkan
pembinaan rumah teres setingkat dan rumah kluster, selari dengan usaha BDB untuk memenuhi permintaan terhadap kediaman mampu milik di Negeri Kedah.

Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) BDB juga terus memberikan nilai tambah yang signifikan, dengan Loji Rawatan Air Pelubang kini hampir siap.

“Apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka meningkatkan akses bekalan air untuk penduduk di Daerah di Kubang Pasu dan Kota Setar.

Untuk divisyen Leisure, Darulaman Park dan Darulaman Golf & Country Club (DGCC) terus
menarik minat orang ramai untuk datang dan menjayakan pelbagai jenis acara dan aktiviti
sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama untuk rekreasi dan acara di
Kedah.

Selain itu, mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Raja Shahreen menzahirkan keyakinan menerusi beberapa inisiatif strategik dan peluang perniagaan baharu yang telah dirangka untuk mengukuhkan operasi dan meningkatkan prestasi keseluruhan BDB.

Salah satu projek utama ialah Aman Seterra Sanctuary, Langkawi, sanctuary persaraan
antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia.

Projek ini mendapat kerjasama RUKUN Senior Living (Indonesia) dan Well Aging Japan Association (WAJA) yang telah dimeterai sewaktu Ekspo Dunia Osaka 2025.

Ia sejajar dengan landskap penuaan global pada masa kini yang mencatat peningkatan ketara sekali gus menjadikan BDB berada pada kedudukan yang tepat untuk memasuki pasaran ekonomi perak di rantau ASEAN.

“Dalam masa yang sama, BDB juga giat memperluaskan peluang perniagaan di luar Kedah.
Kami telah menandatangan perjanjian persefahaman bersama Mutiara Perlis Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pelabuhan Sanglang Perlis.

“Selain itu, perbincangan sedang dijalankan untuk kerjasama bagi membangunkan
projek pembangunan hartanah di Arau dan pembinaan gudang dan kemudahan industri di
Pelabuhan Darat Perlis dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |