KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh kini semakin hampir untuk memuktamadkan senarai akhir pemain ke Piala Negara-Negara selepas tamat aksi keempat siri jelajah Korea Selatan semalam.
Speedy Tigers mencatat seri buat kali kedua selepas terikat dalam perlawanan pada Isnin, menjadikan rekod setakat ini hanya dua kemenangan dalam lima aksi yang dijadual berakhir petang ini.
Sarjit menjelaskan, keputusan perlawanan bukan keutamaan, sebaliknya fokus utama adalah menilai kredibiliti setiap pemain menjelang kejohanan penting di Bukit Jalil bulan depan.
“Sekarang kami telah serahkan senarai panjang kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) terdiri daripada 23 pemain. Daripada jumlah itu, hanya 20 akan dipilih menyertai kejohanan,” tambah Sarjit.
Sarjit turut mengesahkan semua pemain akan diberi peluang beraksi dalam perlawanan terakhir petang ini bagi mengekalkan momentum pasukan, mengelak kecederaan dan menilai kematangan taktikal setiap pemain.
“Komitmen pemain memang tinggi. Kami puas hati dengan prestasi keseluruhan termasuk beberapa pemain senior seperti Fitri (Saari), Marhan (Jalil), Nik Aiman (Nik Rozemi) dan Azrai (Aizad Abu Kamal) yang menunjukkan tahap konsistensi memberangsangkan,” ujarnya.
Sarjit juga memberi bayangan struktur utama pasukan hampir dimuktamadkan, dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman mampu menawarkan keseimbangan terbaik dalam skuad.
Skuad kebangsaan dijadual pulang ke tanah air selepas aksi kelimadi Pusat Latihan Nasional Jincheon petang ini bagi memulakan fasa akhir persiapan ke Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 15 Jun nanti. – KOSMO! ONLINE