PADANG BESAR – Taktik licik memuatkan sebuah kenderaan klon jenis Volvo XC60 dengan getah sekerap bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila ia berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuala Ketil, Kedah baru-baru ini.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah itu adalah palsu dan dipercayai digunakan bagi menyembunyikan status kenderaan yang merupakan barang larangan.
“Kami tidak menolak kemungkinan kenderaan ini digunakan untuk dua tujuan iaitu mengaburi pihak berkuasa dengan membawa muatan getah sekerap dan kedua, untuk urusan harian jual beli bahan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, kenderaan itu ditemui kira-kira pukul 4.30 petang, 14 Jun lalu di kawasan tempat letak kereta Persiaran KKCC 3, Kuala Ketil dan siasatan mendapati ia tidak mempunyai permit import yang sah.
“Kita menganggarkan nilai kenderaan berkenaan mencecah RM40,000 manakala jumlah cukai terlibat ialah sebanyak RM55,000,” ujarnya.
Tambahnya, sebuah lagi kenderaan klon jenis Honda Jazz turut disita selepas pemeriksaan dijalankan berhampiran sebuah bengkel di Batu 5½, Jalan Kaki Bukit, Beseri, dekat sini pada 19 Jun lalu.
“Nombor pendaftaran yang digunakan turut dikesan palsu dan siasatan awal mendapati ia juga merupakan kenderaan yang memerlukan permit import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” ujarnya.
Nilai anggaran bagi kenderaan kedua itu ialah RM15,000 dengan cukai yang terlibat sebanyak RM55,000.
Menurut Ismail, kedua-dua kereta klon berkenaan dipercayai merupakan kenderaan ‘scrap’ dari Singapura yang telah dilupuskan selepas lima tahun digunakan dan dibawa masuk ke negara ini untuk mengelak cukai. – KOSMO! ONLINE