Bas persiaran hilang kawalan punca nahas ragut nyawa 15 pelajar UPSI

7 hours ago 3

GERIK – Kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik di sini awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada bas persiaran dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan membawa 42 pelajar itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim.

Katanya, MPV tersebut pula dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak berusia enam dan tiga tahun yang dalam perjalanan pulang ke Baling.

“Apabila tiba di tempat kejadian, bas yang disewa khas pelajar UPSI untuk pulang ke Tanjung Malim itu telah melanggar belakang Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan 15 pelajar maut manakala 27 pelajar lain cedera. Turut cedera dalam kejadian itu ialah pemandu bas dan pemandu kedua,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Menurut beliau, bas persiaran itu memulakan perjalanan dari Jerteh pada pukul 9 malam semalam dan dijangka tiba di Tanjung Malim pada awal pagi ini.

Katanya, kesemua pelajar UPSI yang menaiki kenderaan itu berusia antara 21 hingga 23 tahun.

“Mayat 13 pelajar UPSI yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat manakala mayat dua lagi mangsa menjalani proses sama di Hospital Gerik.

“Mangsa lain yang cedera termasuk pemandu dan penumpang Perodua Alza dirujuk ke dua buah hospital di Perak dan Kedah,” katanya.

Tambah beliau, rakaman percakapan pemandu kedua-dua kenderaan juga masih belum diambil berikutan mereka masih mendapatkan rawatan di hospital. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |