BEBERAPA kali terkandas dalam sesi uji bakat program realiti televisyen tidak mematahkan semangat pendatang baharu, Hamzah Samsuddin meneruskan kecintaan terhadap dunia nyanyian.
Muncul dengan single pertama berjudul Masih Menunggu, Hamzah yang merupakan penjawat awam di sebuah kementerian tidak berasa terlalu terlambat untuk dirinya mempamerkan bakat dimiliki.
Menurut Hamzah, 31, proses untuk melancarkan Masih Menunggu juga berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekangan masa dan mengelak daripada bertembung dengan peluncuran single lain di bawah label rakaman Universal Music Malaysia.
“Saya sudah mencuba nasib dalam banyak pertandingan realiti televisyen tetapi pada waktu itu, juri kata saya belum bersedia. Kali terakhir saya hadiri uji bakat pada tahun 2021 sebelum memilih untuk memberi tumpuan penuh terhadap kerjaya tetap.
“Kemudian ditakdirkan saya kenal seorang komposer, Ilham Baso yang ada kelebihan melihat potensi seseorang.
“Hanya dalam tempoh 30 minit perbualan, dia terus tawarkan lagu Masih Menunggu, proses rakaman di Jakarta dan akhirnya berjaya dilancarkan selepas banyak juga cabaran,” katanya lagi.
Mengakui sangat meminati genre balada, dia tidak berfikir panjang apabila ditawarkan lagu tersebut.
“Ketika pertama kali dengar, terus jatuh cinta dan kena dengan jiwa.
“Saya terus terima dan memberi warna serta menghidupkan emosi dalam lagu tersebut, syukur hasilnya memuaskan hati.
“Tambahan pula liriknya tentang kehilangan dan penantian yang pernah saya lalui sebelum ini selepas pemergian arwah ayah serta ibu,” katanya lagi.
Ditanya mengenai pembahagian masa untuk kerjaya seni dan tugas hakiki sebagai penjawat awam, dia berkata semuanya berjalan dengan lancar setakat ini.
“Kalau tanya saya, dua-dua pun saya mahu. Kerjaya tetap pada hari biasa sementara persembahan seni selalunya dilakukan pada hujung minggu.
“Semuanya boleh diatur ikut kesesuaian dan jadual kerja,” ujarnya lagi.
Berat badan
Bercakap tentang nyanyian juga, Hamzah bersyukur stamina persembahan pentas semakin baik selepas menjalani pembedahan bariatrik tahun lalu.
Baginya, pembedahan tersebut adalah keputusan terbaik demi menjaga kesihatan diri.
“Saya tidak potong usus sebaliknya pembedahan pintasan bariatrik mengurangkan pengambilan makanan dan penyerapan kalori.
“Dari berat 245 kilogram (kg) berkurang kepada 150kg dan sekarang dalam usaha nak turunkan lagi.
“Majikan berbesar hati nak taja sebab kerja saya melibatkan banyak pergerakan yang pantas. Kalau bos bergerak lebih cepat berbanding pekerja, itu tidak baguslah,” kongsinya.
Menyedari masih ramai mempunyai tanggapan negatif terhadap bariatrik, dia bagaimanapun memberitahu pembedahan tersebut mengubah banyak perkara termasuk merasakan diri lebih yakin dan sihat.
“Sekarang badan terasa lebih ringan dan selesa. Paling malu, dahulu saya terpaksa beli dua tempat duduk dalam penerbangan tetapi sekarang hanya satu.
“Jadi, bariatrik memberi banyak kebaikan lain, termasuk menyanyi pun tidak cepat mengah dan lontaran suara lebih baik.
“Kalau untuk jangka masa panjang, saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang menggalakkan orang ramai melakukannya rawatan sama sekiranya berkemampuan.

17 hours ago
5

















































