Bapa tujuh anak mengalir air mata kena denda RM13,000, rempuh Perodua Axia

5 hours ago 4

JOHOR BAHRU – Seorang bapa tujuh anak menangis di dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan lelaki itu dikenakan didenda atas dua pertuduhan merempuh sebuah kenderaan serta memandu secara tidak cermat di Jalan Tun Abdul Razak, di sini Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Nur Fatin Mohamad Farid.

Selain itu, dia yang juga seorang penganggur turut diperintah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan jika gagal bayar denda serta lesen kenderaannya di endorse mahkamah selama enam bulan.

Di hadapan Atifah Hazimah, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melanggar sebuah Perodua Axia sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM15,300 kepada mangsa pada pukul 3.10 petang di Jalan Susur 6, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala di hadapan Nur Fatin, dia didakwa telah memandu kenderaan atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepenuhnya sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain pada masa dan lokasi sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan selain lesen memandu diendors oleh mahkamah.

Terdahulu, ketika rayuan tertuduh memberitahu dia kini tidak bekerja selain perlu menanggung seorang isteri dan tujuh orang anak.

“Saya menyesal akan perbuatan saya dan tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya sambil menangis.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Amirah Tasnim Saleh.

Beberapa hari lalu, tular satu rakaman video berdurasi 19 saat memaparkan sebuah Toyota Hilux merempuh Perodua Axia secara mengundur sebelum bertindak melarikan diri.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |