Bapa longlai tatap jasad Iecha

1 day ago 11

TANGKAK – “Kalau dia meninggal sebab sakit saya boleh terima lagi tapi ini dia mati dalam keadaan begitu (dikelar),”.

Kata-kata itu diluahkan Junus Kassim, 74, dalam keadaan longlai sebaik sahaja melihat wajah jasad anaknya, Iecah, 34, di rumahnya di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, dekat sini, malam tadi.

Anak kedua daripada empat beradik itu meninggal dunia dipercayai akibat dikelar suaminya berusia 33 tahun dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir kelmarin.

Suasana di kediaman keluarga itu terus diselubungi pilu apabila isterinya, Fatimah Seman, 63, dan tiga anaknya yang lain juga tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja diberi peluang menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Terdahulu jasad Iecha tiba di kediaman keluarganya kira-kira pukul 6.50 petang dan selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kota pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib ketika dihubungi pemberita memberitahu, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Melaka mendapati kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dikelar di leher.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang penganggur direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki membunuh isterinya di kediaman di Taman Cahaya, Bukit Gambir.

Roslan berkata, jenayah itu bagaimana hanya terbongkar selepas suspek bertindak membakar rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kota pada awal pagi semalam.

“Suspek berjaya ditangkap oleh adik iparnya yang kemudiannya membawanya ke Balai Polis Bukit Gambir.

“Hasil soal siasat awal suspek memberitahu mangsa telah tiada (dibunuh) dan sepasukan anggota telah ke kediaman pasangan berkenaan,” katanya hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan telah menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan ditutup dengan selimut di ruang tamu rumah.

Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik keluarga. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |