PORT DICKSON – Seorang nelayan tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya setiap kali terkenangkan kembali detik sebuah kereta dinaiki dua beradik tenggelam di sungai di bawah jambatan Tanjung Agas, Kuala Linggi, di sini, pagi tadi.
Nelayan berkenaan, Ade Mos, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang bersarapan bersama anak perempuannya di warung yang terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian dan terdengar bunyi suara riuh dari arah jambatan.
“Mula-mula saya fikir ada orang kena sambar buaya tapi bila lihat ke arah bunyi riuh berkenaan, saya nampak bahagian belakang kereta sahaja. Saya segera naik bot kecil yang ada di sungai bila lihat si ibu keluar dari kenderaan.
“Si bapa menjerit meminta tolong selamatkan isterinya kerana isterinya sudah hanyut tidak tahu berenang. Saya berjaya menyelamatkan isteri mangsa dan membaling sauh di lokasi kereta berkenaan sudah terjunam.
“Saya cuba hendak menyelam selamatkan dua beradik itu, namun, tidak mampu menyelam kerana sudah semput. Saya minta maaf pada so bapa yang jelas-jelas saya lihat dalam keadaan trauma dan fobia disebabkan kejadian ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ade berkata, dia sudah ternampak empat sekeluarga itu sejak beberapa hari lalu serta berpeluang berbual-bual bersama lelaki itu yang baharu sahaja pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Biasa datang ke sini untuk memancing, bawa isteri dan anak-anak. Si bapa memang peramah dan menceritakan sedang menanti tawaran kerja di Malaysia, sebab ikutkan kalau mahu terus kerja di UAE perlu bergelar penduduk tetap.
“Jadi si bapa tidak mahu serta mencari pekerjaan di Malaysia ni. Tak sangka jadi begini dan saya pun sudah meminta maaf padanya kerana tak sempat selamatkan anak-anaknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kedua kanak-kanak berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan telah ditemukan pada pukul 1.24 tengah hari dan juga satu kanak-kanak lelaki pada pukul 1.47 tengah hari. – KOSMO! ONLIE