MUAR – Bapa enam anak yang baru dibebaskan dari penjara, berhadapan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi, dua minggu lalu.
Tertuduh, Lim Cheng Poh, 49, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga penganggur memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis serbuk ekstasi seberat 6,389 gram (g), di sebuah rumah sewa di Taman Sri Treh, di sini, pada pukul 4 petang, 16 Jun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 September ini untuk sebutan laporan kimia dan tiada tawaran ikat jamin diberikan terhadap tertuduh.
Semalam, Kosmo! melaporkan, tertuduh bersama anak lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas polis menyerbu rumah sewanya.-KOSMO! ONLINE