BAC2026: Ling Ching hampir kejutkan bekas juara dunia

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mempamerkan aksi cukup cemerlang meskipun tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang berlangsung di Ningbo, China.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, pemain No.38 dunia itu terpaksa akur tewas 21-15, 11-21, 19-21 dalam tempoh 67 minit kepada ratu badminton India, P.V. Sindhu.

Turun sebagai pemain bukan pilihan, Ling Ching membuatkan Sindhu tersentak seketika apabila berjaya memenangi set pertama 21-15 biarpun pada awalnya dia sekadar mengekori kedudukan pemain No.13 dunia berkenaan.

Bagaimanapun, rentak kemenangan itu gagal diteruskan Ling Ching dalam set berikutnya apabila memberikan kemenangan mudah 21-11 kepada Sindhu, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke aksi penentuan.

Memasuki set ketiga, Sindhu yang mendapat suntikan semangat mendahului perlawanan dengan kedudukan 9-5 sebelum Ling Ching kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan 9-9.

Kemudian, aksi bertambah menarik apabila kedua-dua pemain saling bertukar servis dan perlawanan menjadi semakin mendebarkan ketika kedudukan terikat 19-19, namun tuah nyata memihak kepada Sindhu apabila menang 21-19.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan kedua Ling Ching dan Sindhu dengan kedua-dua perlawanan itu dimenangi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 berkenaan.

Sementara itu, pada aksi yang berlangsung lebih awal, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menang 21-15, 21-15 ke atas Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Momentum itu bagaimanapun gagal diteruskan satu lagi beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang terpaksa akur tewas 17-21, 21-17, 20-22 juga kepada gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Turut menerima nasib sama adalah beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tersingkir selepas mereka menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 14-21, 6-9 kepada pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong.

Pada masa sama, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao gagal untuk melakar kejutan ke atas jaguh Indonesia, Jonatan Christie selepas tewas straight set 13-21, 8-21 dalam tempoh 36 minit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |