Azeez sedia disiasat semula, tolak dakwaan ‘sakau’ TH

11 hours ago 4

JELEBU – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya siasatan berkaitan pengurusan institusi itu dibuka semula.

Abdul Azeez berkata, beliau pernah disiasat secara menyeluruh selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, termasuk ditahan hampir 14 malam di lokap serta dipanggil berkali-kali oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau saya sakau, pada tahun 2018 lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah penjarakan saya. Audit forensik dan siasatan sudah dibuat, tetapi tiada bukti saya menyeleweng dana Tabung Haji,” katanya ketika ditemui pemberita semasa membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Taman Simpang Pertang, di Jelebu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH yang diterbitkan kepada umum semalam.

Ujar Abdul Azeez lagi, laporan RCI setebal 204 muka surat itu sebenarnya telah disiapkan sejak penghujung tahun 2022 di bawah kepengerusian bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Raus Sharif, namun ia tidak diterbitkan lebih awal.

“Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan benda tu tidak dikeluarkan… yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu jelas menyatakan boleh diterbitkan kepada umum.

Abdul Azeez juga mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Tan Sri Azam Baki pada tahun 2021 telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan tiada salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan sepanjang tempoh beliau menerajui Tabung Haji.

Malah, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Baling memaklumkan pihak polis juga telah memanggilnya sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik sebelum ini.

“Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA).

“Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat ‘sakau’ demi kepentingan politik,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |