PUCHONG – Dua ekor lembu sado yang pernah menjadi juara pertandingan pada tahun 2024 dan 2025 mencuri perhatian lebih 1,000 tetamu pada Majlis Korban Perdana & Kenduri Rewang anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) bersama ST Rosyam Mart di Masjid Meranti, Puchong.
Awang Merah, lembu baka Limosin seberat lebih 1.2 tan, berharga RM26,000 merupakan juara pertandingan King of Limosin tahun ini, manakala Kiko, dari baka Charolais, adalah pencabar utama dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2024 berharga RM35 ribu dan terkenal sebagai lembu muda terbesar yang pernah bertanding.
Majlis korban yang julung kali diadakan secara fizikal selepas pandemik ini menyaksikan lebih 1,000 penerima manfaat, termasuk golongan asnaf dan miskin bandar menerima agihan daging korban berkualiti tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan amanah dengan menyediakan haiwan korban terbaik.
“Buat pertama kalinya sejak pandemik, kami amat bersyukur kerana dapat menaja dua ekor lembu sado juara sebagai simbol pelaksanaan ibadah korban yang menepati syariat memilih ternakan terbaik dan berkualiti tinggi untuk dikongsi bersama,” kata Kamarudin.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun ini menyaksikan rekod jualan tertinggi ikhlas.com Qurban dengan penyertaan 10 ekor lembu sado, dan kini menetapkan sasaran baharu iaitu 100 ekor setahun berikutan sambutan menggalakkan.
Majlis ini juga merupakan sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com, dengan objektif utama untuk menyantuni komuniti setempat sambil memperkukuh nilai pengorbanan dan ukhuwah sempena Hari Raya Aidiladha.
Turut memeriahkan majlis ialah selebriti tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Fizz Fairuz, Johan As’ari, Riezman Khuzaimi dan Datuk Normaziah Sheikh Mohamed serta chef terkenal iaitu Chef Rozaelly Asmat, Chef Abdul Malik Sumalah dan Wirdat Alias dari Santan. – KOSMO ! ONLINE