KUALA LUMPUR – Pendekatan yang diambil Malaysia dalam menyelesaikan krisis di Myanmar menunjukkan negara sebagai Pengerusi ASEAN serius dalam mengetuai hasrat untuk menyelesaikan konflik di tempat tersebut.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi pendekatan yang diambil oleh Malaysia termasuk kejadian gempa bumi melanda Myanmar pada Mac lalu.
Menurutnya, tindakan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok, Thailand baru-baru ini dan berjumpa pihak tentera Junta Myanmar dan secara dalam talian dengan pihak pembangkang merupakan satu pendekatan bukan biasa dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara.
“Sebab isunya dibimbangi antara kritikan dikatakan mengiktiraf kerajaan Junta tentera Myanmar itu. Tapi Perdana Menteri tak melihat aspek itu.
“Beliau kata, kalau tak datang, sudah tentu pihak bertelagah ini tidak duduk di meja rundingan. Jadi macam mana nak selesaikan tanpa berunding dan beliau sendiri hadir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mohd. Azizuddin berkata, dengan kehadiran beliau, Junta tentera Myanmar serta pihak pembangkang turut datang berbincang dan meletakkan matlamat untuk melakukan gencatan senjata.
“Jadi takkan berlaku peperangan, walaupun ada dikatakan tembak menembak berlaku, tapi sekurang-kurangnya daripada segi asasnya, mereka menyokong untuk menghentikan peperangan.
“Kemudian aktiviti kemanusiaan diberikan Malaysia dan lain-lain (negara) kepada mangsa gempa bumi. Dalam konteks ini saya rasa apa dilakukan Malaysia sangat kena dengan masa, menunjukkan Malaysia betul-betul mengetuai hasrat untuk selesaikan isu Myanmar,” katanya.
Beliau berkata, isu negara tersebut bukan hanya berkisar tentang peperangan sahaja apabila ia memberi kesan kepada Malaysia yang terpaksa menanggung kehadiran rakyat Myanmar di negara ini sekali gus ia duri dalam daging di ASEAN.
“Malaysia dah ada dekat 500,000 orang Myanmar (pelbagai etnik). Perang ini dalam bentuk etnik. Kita terpaksa menanggung rakyat Myanmar di sini padahal mereka boleh pulang duduk di sana.
“Itu yang sedang diusahakan Malaysia, cari jalan penyelesaian. Kalau boleh ada jalan penyelesaian, mereka boleh pulang. Paling penting isu demokrasi, pilihan raya secara adil dan terbuka perlu diadakan seperti sebelum ini yang mana telah dibatalkan oleh tentera
“Saya rasa banyak perkara isu Myanmar dan langkah diambil Malaysia tepat pada masanya. Cuma bukan setakat itu sahaja, maksudnya selepas ini banyak rundingan harus dilakukan sebab konflik politik begini selalunya ambil masa lama mungkin satu atau dua dekad,” katanya.
Mohd. Azizuddin berkata, Kepengerusian ASEAN di Malaysia dalam tempoh setahun ini sebenarnya tidak cukup untuk menyelesaikan konflik di Myanmar.
“Selepas ini Pengerusi ASEAN lain harus ambil pendekatan sama apa yang dilakukan Perdana Menteri. Hasrat kita cuba bawa dan ada nampak positif daripada segi perundingan untuk penyelesaian itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE