ASEAN: Ketengahkan produk, kraftangan tempatan di mata dunia

7 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sebanyak 36 reruai melibatkan 25 pempamer turut diketengahkan pada bahagian Reruai Jualan dan Pameran semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Reruai Jualan dan Pameran itu bermula hari ini sehingga 27 Mei dengan tema ‘The Heritech Malaysia’ iaitu gabungan unsur warisan dan teknologi, melibatkan produk seperti kraftangan tempatan, makanan dan minuman keluaran tempatan, perkhidmatan kerajaan dan produk syarikat tempatan.

Jawatankuasa Kecil Logistik (JKKL) Sesi Pemukiman dan Acara Sampingan memaklumkan, reruai dan pameran tersebut boleh dikunjungi oleh orang awam bermula hari ini sehingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Hall 2, Aras G, KLCC.

“Pada Isnin dan Selasa depan, ia terbuka hanya kepada delegasi ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Terdapat empat kategori yang terlibat iaitu kraftangan, industri makanan dan minuman (F&B), agensi kerajaan dan syarikat korporat.

Pengunjung boleh melihat antaranya demonstrasi menekat benang emas, demonstrasi secara langsung penggunaan dompet digital, permainan dan pameran interaktif serta pameran kraftangan tempatan.

Selain itu, paparan video dan papan digital, demonstrasi anyaman dan mencantik batik serta aktiviti interaktif bersama orang asli.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip ke­terangkuman dan kemampanan.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Ja­nuari 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, sekali gus mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ia merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |