KUALA LUMPUR – ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mampu memanfaatkan keunikan masing-masing untuk membentuk masa depan yang lebih terhubung, berdaya tahan dan makmur untuk generasi akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN telah lama membuktikan bahawa pendekatan serantau yang berasaskan konsensus, hormat-menghormati dan keterbukaan boleh berjaya.
“Kita telah makmur melalui hubungan jangka panjang dengan GCC dan China. Hari ini (semalam) kita berpeluang untuk mempertingkatkan hubungan tersebut,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembuka Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, ASEAN, GCC dan China merupakan tiga rakan kongsi yang kaya dengan sejarah, tamadun, budaya dan aspirasi bersama.
Menurut beliau, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China membuka ruang baharu untuk kolaborasi semasa meneroka jalan untuk menyatukan kekuatan negara anggota.
Ujar beliau, pada tahun 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN mencecah AS$3.8 trilion menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia.
Kata beliau, pada tahun sama, jumlah perdagangan dengan GCC mencecah AS$130.7 bilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai AS$390.2 juta.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan AS$696.7 bilion dan FDI AS$17.3 bilion. Angka ini mencerminkan hubungan erat sedia ada serta potensi besar belum diterokai.
“ASEAN, GCC dan China secara kolektif mewakili gabungan KDNK bernilai AS$24.87 trilion dan populasi sekitar 2.15 bilion. Skala ini membuka peluang luas untuk kita menyepadukan pasaran, memperkukuh inovasi dan menggalakkan pelaburan rentas wilayah.
“Dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang ini, kita dapat membina asas kepada pertumbuhan yang stabil, berdaya tahan dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE