ASEAN: Bergerak secara kolektif, tunjukkan kekuatan ekonomi dalam isu tarif AS

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN perlu bergerak secara kolektif sekali gus menunjukkan kekuatan dan kemampuan daripada segi ekonomi dalam isu rundingan tarif timbal balik bersama Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, dalam masa sama, Malaysia juga perlu menggunakan pendekatan dua hala dalam isu berkenaan.

“Walaupun ditangguhkan (tarif) untuk sembilan bulan, saya rasa titik tolaknya banyak bergantung kepada rundingan sebab AS sebenarnya mahu kita berunding. Kalau kita berunding secara unilateral, mungkin kuasa tawar menawar kepada AS dan bukannya kita.

“Itu yang Perdana Menteri syorkan supaya mungkin akan dibawa agenda ini dalam persidangan supaya ASEAN bergerak secara kolektif. Bila ASEAN bergerak secara kolektif, kita dilihat ada kekuatan dengan kemampuan ekonomi ASEAN itu sendiri bernilai USD3 trilion.

“Satu lagi pasaran besar yang ada pada ASEAN, penduduk ramai sebenarnya. Lagi ramai daripada penduduk AS kira-kira 200 juta, manakala kita (ASEAN) ada 680 juta,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, melihat kepada angka berkenaan, sudah tentu tawar menawar tersebut lebih seimbang.

“Mungkin ada kelebihan kepada kita, itu yang kita nak. Jadi sebenarnya harus bergerak secara kolektif walaupun ada kritikan, tapi sudah tentu rundingan secara unilateral itu diteruskan sebab semua negara lain pun berunding secara unilateral.

“Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kan mereka, kita bawa agenda lebih kolektif sifatnya. Saya rasa kedua-dua ini harus diteruskan,” katanya.

Mohd. Azizuddin berkata, paling penting ialah kepentingan nasional daripada segi ekonomi dan rakyat turut terjaga dengan rundingan itu.

“Saya yakin Presiden AS, Donald Trump melihat perspektif itu dan beliau tahu sebenarnya banyak pelabur AS di Malaysia sekarang ini, Intel, Microsoft dan Nvidia. Kalau dikenakan tarif agak ketat kepada kita, ini akan ada masalah kepada syarikat ini.

“Itu yang ada pengecualian diberikan kepada syarikat semi konduktor dan elektrik untuk merancakkan ekonomi AS. Kita dalam anggota ini ada ‘point’ besar untuk tawar menawar itu.

“Saya yakin tindakan bijaksana kerajaan perlu ada dalam menangani isu dengan AS berkaitan tarif,” katanya.

Terdahulu, AS mengumumkan kenaikan tarif 24 peratus terhadap barangan import melibatkan lebih 180 negara termasuk Malaysia, namun pelaksanaan tarif ditangguhkan selama 90 hari yang dijangka berakhir 9 Julai ini, bagi memberi ruang rundingan dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |