ASEAN: Bawa produk hasil penghuni penjara ke mata dunia

6 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Penglibatan Jabatan Penjara di bahagian Reruai dan Pameran Jualan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di sini, merupakan usaha bagi membawa produk dihasilkan penghuni penjara ke mata dunia.

Tinjauan Kosmo! di bahagian Reruai dan Pameran Jualan di Hall 2, Aras G, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, antara produk dibawakan pihak Jabatan Penjara seperti Tenun Pahang Diraja, batik, ukiran selain terdapat jualan kuih raya moden dan tradisional.

Sarjan Penjara Kajang, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Norfarhana Othman berkata, dengan kehadiran orang ramai serta delegasi pelbagai negara, pihaknya mengambil peluang mahu menonjolkan Tenun Diraja Pahang dihasilkan oleh prospek Penjara Penor dan Penjara Bentong pada acara tersebut.

“Tenun Diraja Pahang ini paling utama nak ditonjolkan di sini. Untuk tenun ini, dalam sehari hanya enam inci benang dihasilkan dan ia mengambil masa tiga bulan untuk dijadikan kain pasang.

“Penghasilannya mengambil masa kerana ia daripada benang yang diwarnakan. Jadi harganya mahal sedikit kira-kira RM4,000 untuk kain pasang,” katanya ketika ditemui di KLCC hari ini.

Norfarhana berkata, pihaknya turut membawa produk batik berharga RM480 untuk kain pasang empat meter satin eksklusif, RM360 untuk kain pasang tiga meter satin eksklusif sesuai untuk kemeja lelaki, manakala RM240 kain empat meter kain kapas.

Katanya, setiap penjara mempunyai ‘trademark’ masing-masing antaranya Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan popular dengan batik blok sendiri, Penjara Machang dengan rekaan batik tradisional, manakala batik abstrak pula dari Penjara Kajang.

Sementara itu, beliau berkata, sidang kemuncak yang berlangsung di Malaysia turut membuka rezeki kepada penghuni penjara apabila mereka tidak menang tangan menerima pelbagai tempahan cenderahati terutama daripada kementerian dan agensi kerajaan.

“Banyak hadiah dihasilkan sempena ASEAN antaranya batik, ukiran kayu, tanjak selain jam epoxy. Tempahan tersebut perlu dimaklumkan lebih awal untuk disiapkan oleh prospek,” katanya.

Kosmo! melaporkan, sebanyak 36 reruai melibatkan 25 pempamer diketengahkan pada bahagian Reruai Jualan dan Pameran semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di KLCC, di sini.

Reruai Jualan dan Pameran itu bermula semalam sehingga 27 Mei dengan tema ‘The Heritech Malaysia’ iaitu gabungan unsur warisan dan teknologi, melibatkan produk seperti kraftangan tempatan, makanan dan minuman keluaran tempatan, perkhidmatan kerajaan dan produk syarikat tempatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |