ASEAN All-Star mahu calar ego Manchester United

1 day ago 7

SKUAD gabungan ASEAN All-Star tidak akan beri layanan ‘VIP’ ke atas Manchester United sebaliknya tekad melakar kejutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Pengendali ASEAN All-Star, Kim Sang-sik berkata, semua pemain yang dipanggil untuk mewakili rantau Asia Tenggara cukup bersemangat untuk menentang The Red Devils meskipun dikumpulkan dalam masa yang singkat.

“Kami amat gembira apabila diberi peluang untuk mengharungi perlawanan ini di Malaysia dan selamat datang kepada Manchester United ke Asia Tenggara.

“Skuad kami akan dibarisi pemain terbaik dari rantau Asia Tenggara dan kami serius untuk menghadapi perlawanan ini. Sudah pasti kami mahu menang dan kami akan bekerja keras untuk memberikan yang terbaik.

“Kami hanya sempat menjalani satu sesi latihan sebelum berdepan United esok (malam ini). Saya harap semuanya akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan, semalam.

Sementara itu, kapten ASEAN All-Star yang juga tonggak naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero berkata, status United sebagai gergasi Eropah bukan halangan untuk pasukannya beri  aksi terbaik.

“Kami sedar pasukan United salah satu kelab besar. Namun, pasukan hanya ada satu misi iaitu melakar kemenangan,” kata tonggak Sri Pahang itu.

Selain Aguero, empat lagi pemain negara yang dipanggil sertai ASEAN All-Stars adalah Haziq Nazli, Declan Lambert, Azam Azmi dan Adib Ra’op.

Sang-sik turut memanggil beberapa pemain ternama rantau Asia Tenggara seperti bintang Australia seperti Harrison Delbridge dan Adrian Segecic selain daripada negara Thailand, Vietnam dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |