AS henti proses visa pelajar antarabangsa

1 day ago 8

WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan untuk menghentikan pemprosesan visa semua pelajar asing serta mempertimbangkan langkah untuk menyaring pemohon baharu berdasarkan hantaran media sosial mereka, lapor akhbar New York Post.

Setiausaha Negara, Marco Rubio mengarahkan kedutaan dan konsulat AS untuk menghentikan sebarang temu duga permohonan visa pelajar, demikian menurut notis dalaman yang diperoleh laman berita Politico.

“Berkuat kuasa serta-merta, sebagai persediaan untuk perluasan saringan pelajar menerusi media sosial, bahagian konsular tidak seharusnya menambah pelajar atau pelawat pertukaran.

“Temu duga visa juga perlu dihentikan sehingga panduan lanjut dikeluarkan yang kami menjangkakan (akan diumumkan) dalam beberapa hari akan datang,” kata notis itu.

Jabatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS melucutkan ribuan visa pelajar asing dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Kami memandang serius proses menyaring siapa yang datang ke negara ini dan kami akan terus melakukannya.

“Sama ada mereka pelajar atau pelancong yang memerlukan visa atau siapa pun mereka, kami akan memantau,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce.

Arahan itu dikeluarkan di tengah-tengah pertikaian Trump dengan beberapa universiti paling elit di AS termasuk Harvard, yang beliau percaya terlalu berhaluan kiri. 

Trump berkata, sebilangan universiti membenarkan fahaman anti semitik di kampus dan menegakkan dasar kemasukan yang mendiskriminasi.

Sekurang-kurangnya 4,000 visa telah dibatalkan daripada pelajar antarabangsa dengan pelbagai tuduhan termasuk membakar dengan sengaja, pemerdagangan hidupan liar dan manusia serta memandu di bawah pengaruh alkohol, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara bulan lepas. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |