PETALING JAYA – Golongan pengusaha van pelancongan mendakwa terus tercicir daripada menikmati subsidi diesel meskipun memainkan peranan penting dalam menyokong industri pelancongan negara.
Pengerusi Persatuan Van Persiaran Malaysia, Simon Sim berkata, pengusaha van pelancongan yang berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Agensi Pengangkutan Awam Darat masih dikecualikan daripada menikmati subsidi diesel.
Menurut beliau, selain berdepan kenaikan harga diesel, pengusaha turut menanggung kos penyelenggaraan kenderaan, permit, lesen, insurans, pemeriksaan berkala, gaji pekerja serta pelbagai keperluan pematuhan undang-undang.
“Apabila tiba soal subsidi diesel, kami terus dipinggirkan. Keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan dasar yang sukar diterima.
“Kerajaan tidak boleh terus mengharapkan pengusaha van pelancongan menjadi tulang belakang industri pelancongan, tetapi pada masa sama menafikan bantuan yang sepatutnya dinikmati sektor pengangkutan komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, van pelancongan merupakan pengangkutan utama yang membawa pelancong domestik dan antarabangsa ke lapangan terbang, hotel, pusat konvensyen, destinasi pelancongan serta pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Tanpa perkhidmatan van pelancongan, rantaian industri pelancongan tidak dapat berfungsi dengan lancar,” katanya.
Menurut Simon, sekiranya kerajaan benar-benar serius menjayakan Tahun Melawat Malaysia dan meningkatkan ketibaan pelancong, pengusaha pengangkutan pelancongan perlu diberi sokongan sewajarnya, bukannya terus dibebankan dengan kos operasi yang semakin meningkat.
Beliau berkata, jika isu itu terus diabaikan, lebih ramai pengusaha kecil dan sederhana berisiko gulung tikar, sekali gus menjejaskan syarikat pengangkutan, hotel, ejen pelancongan, restoran, pemandu pelancong serta keseluruhan ekosistem pelancongan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengadakan perbincangan segera bersama wakil industri bagi melaksanakan mekanisme subsidi diesel yang adil kepada semua pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen tanpa mengira sama ada mereka mengendalikan van atau bas.
“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya menuntut layanan yang adil. Jika bas pelancongan layak dipertimbangkan, maka van pelancongan berlesen juga berhak menerima pengiktirafan dan subsidi yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
6







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








