BANGI – Nisbah hutang kerajaan semakin berkurangan, namun jumlah pembayaran hutang masih tinggi memandangkan negara perlu membayar faedah atas hutang-hutang yang lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hutang-hutang lama tersebut antaranya meliputi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji dan Felda.
“Ada yang kata hutang kerajaan semakin bertambah. Kita masih membayar hutang 1MDB. Bagaimana hendak nafikan perkara itu? Tadi ditanya tentang Tabung Haji. Keadaannya sama. Saya tidak mungkin lupa. Hutangnya RM10 bilion.
“Begitu juga Felda. Sekarang saya bertanggungjawab terhadap Felda. Dulu, pada zaman Tan Sri Raja Alias (bekas Pengarah Besar Felda), beliau merupakan seorang penjawat awam yang cemerlang dan komited. Beliau mengurus Felda seolah-olah para peneroka itu keluarganya sendiri.
“Kemudian berlaku pertukaran pengurusan. FGV (FGV Holdings Berhad) diwujudkan. Beberapa tokoh politik membuat keputusan yang sangat merugikan. Contohnya membeli sebuah hotel dengan harga RM400 juta sedangkan nilai sebenarnya sekitar RM160 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan warga perkhidmatan awam zon tengah di Universiti Islam Selangor di sini, hari ini.
Anwar berkata, laporan itu juga sampai kepadanya dan beliau perlu menyelesaikan perkara berkenaan selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.
“Apabila saya mengambil alih, saya pula yang perlu menyelesaikannya. Sekarang kita hendak jual semula pun mungkin hanya bernilai sekitar RM100 juta. Itulah realitinya.
“Adakah saya akan menjadi popular apabila menceritakan perkara ini? Sudah tentu tidak. Orang marah. Mereka kata, jangan ungkit kisah lama. Tetapi siapa yang perlu membayar sekarang? Kerajaan hari ini. Bagi Felda sahaja, kita perlu membayar hampir RM980 juta setahun. Hampir RM1 bilion setiap tahun.
“Saya juga manusia. Tentulah kita mahu orang kata kerajaan ini bagus. Tetapi apa yang bagus jika setiap tahun kita masih perlu membayar hampir RM1 bilion akibat penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketamakan mereka yang pernah diberikan amanah kononnya untuk memperjuangkan orang Melayu dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan perkara itu kepada rakyat berhubung hakikat yang berlaku.
“Sebab itu saya minta semua pegawai memahami hakikat ini. Masalah kita bukan masalah orang Cina. Bukan masalah orang India, dan bukan juga salah mana-mana kaum. Masalah sebenar ialah masalah akhlak, rasuah dan ketamakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
11












































