Angin lintang dan ribut kencang, penerbangan 50 minit jadi 4 jam

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Penerbangan rutin sepatutnya mengambil masa selama 50 minit bertukar menjadi perjalanan mendebarkan hampir empat jam apabila pesawat AK6047 yang membawa penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur berdepan cuaca buruk dan terpaksa melencong ke Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menceritakan detik mencemaskan itu selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor di Johor Bahru malam tadi.

Menurut Anthony, beliau menaiki penerbangan AirAsia AK6047 pada pukul 10.45 malam dari Lapangan Terbang Senai dan pesawat terbabit dilaporkan terpaksa berpusing di ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas cubaan mendarat gagal ekoran angin lintang kuat serta ribut petir.

“Segalanya berjalan lancar dan normal sehinggalah ke peringkat menurun, di mana pesawat melalui awan tebal dan ribut petir.

“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat serta ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan dan berpusing di ruang udara KLIA,” kongsinya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Anthony berkata, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia turut mengalami lencongan, manakala kemungkinan ramai penumpang lain juga terkesan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu sekali gus merupakan antara cabaran terbesar dalam operasi penerbangan.

Bagaimanapun, beliau memuji tindakan pantas dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh Kapten pesawat, Teng Huah Jer dan Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi gentir berkenaan.

“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penumpang. Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi seperti itu” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden itu.

“Juga ucapan penghargaan besar kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan ramai lagi kakitangan sokongan yang merupakan wira tanpa nama dari Senai, Pulau Pinang hingga KLIA, atas tindakan pantas dan terkoordinasi anda yang membawa kami pulang dengan selamat.

“Kami selamat mendarat di KLIA pada pukul 2.40 pagi, hampir 4 jam selepas pesawat berlepas dari Senai. Sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan kepada kru, saya menunggu semua penumpang keluar dahulu sebelum meninggalkan pesawat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |