SEPANG- Seramai 82 bakal jemaah yang ditawarkan menunaikan ibadah haji secara tajaan oleh pihak tertentu terpaksa berputih mata apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas gagal terbang ke Tanah Suci semalam.
Difahamkan, kumpulan jemaah itu dijanjikan tajaan haji menggunakan visa mujamalah, namun sehingga semalam gagal menerima tiket penerbangan dan dokumen berkaitan untuk melaksanakan ibadah berkenaan.
Menurut salah seorang mangsa, Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56, dia dan isteri, Sarimah Ahmad, 51, terpaksa melupakan hasrat ke Tanah Suci selepas tiga hari menunggu untuk terbang ke Tanah Suci.
Muhammad Azmir yang juga penyanyi kumpulan UK’s berkata, dia dan isteri sudah berada di sekitar KLIA sejak 1 Jun lalu selepas dimaklumkan untuk terbang pada hari itu.
“Kami dimaklumkan akan terbang pada pukul 5 petang menerusi penerbangan Saudia Airlines, tetapi selepas melihat pesanan menerusi WhatsApp, penerbangan itu dikatakan ditunda pada 2 Jun.
“Tetapi, apabila kami sampai pada malam 2 Jun di KLIA, jemaah dimaklumkan akan terbang pada pagi 3 Jun, tetapi tidak dimaklumkan waktu tepat.
“Kami juga difahamkan akan terbang menggunakan penerbangan sewa khas dari Kompleks Bunga Raya, tetapi ia tidak berlaku,” katanya pada sidang akhbar di KLIA di sini hari ini.
Sementara itu, bercerita mengenai tawaran haji itu, katanya, pelawaan itu diterima menerusi rakan isterinya pada 9 April lalu dengan mengatakan ada individu dermawan mahu membuat tajaan itu.
Katanya, rakan isterinya juga menjadi antara mangsa dan bukannya ejen yang dilantik bagi menguruskan urusan jemaah ke Tanah Suci.
Jelasnya, selepas menerima pelawaan itu, mereka diminta untuk memberikan gambar dan pasport kepada rakan isteri untuk urusan seterusnya.
“Kami juga dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp bernama Tetamu Allah Haji Akbar 2025 yang mempunyai 77 bakal jemaah yang turut terpilih.
“Selepas membuat segala persiapan termasuk mendapatkan suntikan vaksin, kami menerima surat tawaran haji daripada agensi berdaftar pada 27 Mei lalu.
“Memandangkan surat tawaran itu dikeluarkan oleh agensi pelancongan terkenal, kami juga mempunyai keyakinan tinggi bahawa pakej itu wujud dan akan terbang ke Tanah Suci,” katanya.
Susulan itu, Muhammad Azmir berkata, selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, dia dan isterinya telah membuat laporan polis di Balai Polis KLIA bagi mendapatkan pasport mereka yan dipegang individu lain.
“Sebelum ini, pasport itu telah diserahkan jemaah kepada individu yang menguruskan urusan haji, tetapi selepas laporan polis dibuat kami diminta untuk mengambilnya di Setia Alam.
“Namun, saya dan isteri belum mengambil pasport berkenaan kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara lain dahulu selepas gagal terbang ke Tanah Suci,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya ada menanggung sebarang kerugian susulan kejadian tersebut, Amir berkata, dia bersama isteri telah membelanjakan sekitar RM4,000 bagi membuat persediaan untuk menunaikan haji termasuk mengambil suntikan vaksin.
“Sepanjang berada di dalam kumpulan WhatsApp, saya dan isteri langsung tidak bertanya banyak.
“Bukan apa, tawaran mengerjakan haji ini pun diberi secara percuma, jadi buat apa cakap banyak-banyak, kami hanya ikut sahaja semua yang dimaklumkan.
“Namun tidak sangka ia berakhir seperti ini, sudah tentu kami sangat kecewa kerana ini adalah impian saya dan isteri untuk menunaikan haji bersama-sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE