WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) mencapai usia 250 tahun hari ini – hari ulang tahun penting yang ditandai perpecahan dalam kalangan rakyat dan seorang presiden yang berazam untuk menonjolkan diri beliau di pentas utama perayaan.
Ulang tahun kemerdekaan itu juga berlaku di tengah-tengah gelombang haba yang menyaksikan kira-kira 160 juta rakyat AS berada di bawah amaran haba ekstrem, mencetuskan gangguan pada rancangan perarakan dan pesta di kebanyakan bandar.
Suhu membahang bagaimanapun tidak menghalang Presiden Donald Trump yang berusaha keras untuk memastikan acara keraian menjadi kenyataan, sebahagian besarnya adalah sambutan untuk dirinya sendiri.
Petang ini, Trump akan mengadakan perhimpunan politik besar-besaran di National Mall di ibu negara, Washington bersama dengan penerbangan lintas tentera dan apa yang beliau gembar-gemburkan sebagai pertunjukan bunga api terbesar dunia.
“Suhu berada pada kira-kira 41 darjah Celsius di luar dan saya akan pergi dan saya akan membuat ucapan yang sangat panjang hanya untuk menunjukkan bahawa saya boleh melakukan apa sahaja,” katanya sebelum ini.
Lewat semalam, Trump mengunjungi monumen kebangsaan Gunung Rushmore untuk menyampaikan ucapan di bawah pandangan kepala granit gergasi empat pendahulunya.
Walaupun memuji keistimewaan Amerika dan pemimpin masa lalu, Trump berkata, identiti Amerika berada ‘di bawah serangan yang diperbaharui’.
Menyasarkan kelompok ‘radikal dan ekstremis’ domestik, beliau mendakwa bahawa terdapat ‘kemunculan semula ancaman komunis di tanah air kita’.
Ia adalah tema yang Trump berulang kali tekankan sejak beberapa minggu lalu, ketika golongan berhaluan kiri daripada Parti Demokrat membawa rentetan kemenangan utama di AS.
Bagi rakyat Amerika pula, ulang tahun kemerdekaan ke-250 itu menawarkan detik untuk refleksi diri serta sambutan.
Selepas dua setengah abad kejayaan dan tragedi, perhambaan dan kebebasan, perang saudara dan perang dunia, pelbagai tinjauan pendapat menunjukkan Amerika berpecah belah tentang di mana ia berada dan ke mana hala tujunya.
Kaji selidik Universiti Quinnipiac menunjukkan 61 peratus rakyat Amerika berpendapat AS tidak memenuhi cita-cita yang dinyatakan dalam Deklarasi Kemerdekaan.
“Terlalu ramai orang membenci antara satu sama lain, mencuri daripada satu sama lain. Mereka tidak menyayangi antara satu sama lain,” kata artis seni berpangkalan di Los Angeles, Johnny Presley.
“Saya muak dengan cara negara ini melayan orang ramai. Saya muak dengan cara negara ini melayan jiran asingnya,” tambahnya.
Bagi Karisa Tavassoli iaitu seorang pendidik berdarah Iran-Amerika di Atlanta, asas impian Amerika masih benar.
“Saya mempunyai keselamatan, saya mempunyai kebebasan bersuara, saya mempunyai kebebasan beragama, saya boleh memakai apa sahaja yang saya mahu sebagai seorang wanita,” katanya kepada AFP. – AFP

7 hours ago
3

![[VIDEO] Bas tukar lorong tiba-tiba, Civic Ferio nyaris remuk](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-04-at-10.01.41-PM.jpeg)















































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)