‘Allah jemput datang, kita batalkan umrah dengar berita tak sahih’

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Umat Islam yang telah ‘dijemput’ oleh Allah SWT bagi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci dinasihatkan untuk mendapatkan berita sahih, sekali gus tidak sewenang-wenangnya membatalkan perjalanan mereka.

Pengarah Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, berdasarkan situasi antabangsa yang berlaku ketika ini, semua pihak seharusnya berpegang kepada keputusan diberi oleh kerajaan.

“Wisma Putra tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan tentang kepulangan jemaah haji dan umrah dari Mekah ke sini. Jadi kita ikut sedia ada, jangan dengar berita sumber yang belum pasti sahih.

“Yang sahih berita adalah daripada kerajaan dan Wisma Putra. Ini pegangan kita berdasarkan Maqasid Syariah,” katanya menerusi kenyataan rasmi berkaitan status terkini perjalanan umrah disiarkan pada Facebook Andalusia hari ini.

Beliau berkata, bagi jemaah umrah yang telah menyerahkan pembayaran kepada agensi khususnya Andalusia, perancangan dan persediaan telah pun dibuat.

“Jika mudahnya kita batalkan hanya kerana dengar berita macam ini saja, rasa tak tepat. Sedangkan Allah ‘jemput’ datang, masa dah sampai. Hanya berita tersalah sangka, kita sekat dan tak pergi, ia satu kerugian.

“Kita ke Mekah berdasarkan nikmat dan rahmat. Nikmat Allah beri dan kita terima. Rahmat pula merupakan kasih sayang Allah kepada kita. Pemergian umrah kita ini, kita pergi cari rahmat.

“Hanya dengar berita kurang sahih, kita berpegang langsung dengan membatalkan pemergian. Peganglah kepada arahan pemerintah. Pergi saja dan jangan takut,” katanya.

Beliau berkata, pihak Andalusia telah menyediakan prasarana lengkap termasuk penginapan dan makanan sekiranya berlaku kelewatan penerbangan.

“Kita tunggu saja jadual baharu diberi kepada kita. Kita terbang saja, serah diri kepada Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |