KUALA LUMPUR – Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang terletak di tengah ibu kota merupakan pusat kraf setempat yang menawarkan pelbagai produk kraf tangan tradisional dan moden, selain menjadi platform terbaik bagi pengunjung untuk mendalami seni kraf tempatan.
Seiring dengan usaha ini, Kompleks Kraf Kuala Lumpur kini memperkenalkan Aktiviti Kraf Mingguan yang diadakan pada setiap Rabu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sehingga hujung tahun ini.
Bertemakan Kompleks Kraf Di Hati, aktiviti itu bertujuan memperkenalkan Kompleks Kraf sebagai Pusat Kraf Setempat, yang menghimpunkan produk kraf tempatan dari seluruh negara.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan setiap Rabu secara bergilir-gilir, yang terdiri daripada Jualan Kraf, Persembahan Kesenian, Camca Rasa (demonstrasi masakan tradisional) dan Demonstrasi Kraf.
Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti interaktif kraf, antaranya melibatkan penghasilan batik ikat celup, batik cetakan kreatif, batik lukis, logam teknik tekan timbul, barangan seramik, seni tampal selit, sulaman manik, anyaman rotan dan sulaman crochet.
Antara usahawan yang menyertai aktiviti Camca Rasa dalam program berkenaan adalah Hamidah Sharif, 54 tahun, yang berasal dari Johor.
Jurudemo masakan itu mengetengahkan kuih tradisional, iaitu bunga pudak yang berasal dari Kedah.
“Kuih ini berasaskan tepung pulut dan garam dengan berintikan kelapa yang biasanya dijadikan santapan minum petang bersama kopi.
“Ia perlu disediakan satu persatu dan untuk menghasilkan sebekas bunga pudak yang mengandungi 16 keping, saya memerlukan masa sekitar sejam.
“Pada masa sama, ia tetap merupakan warisan kita yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui Kosmo! Rabu lalu.
Sementara itu, pengusaha kuih karas, Noredawati Ismail, 40, yang berasal dari Kedah mengakui Aktiviti Kraf Mingguan dapat memberikan pengetahuan kepada generasi muda tentang kuih tradisional.
Lebih istimewa, kuih karas dihasilkannya menggunakan acuan khas daripada tempurung kelapa, yang mempunyai lubang-lubang halus bagi membolehkan adunan tepung beras mengalir masuk ke dalam minyak panas.
“Ramai dalam kalangan mereka yang berasal dari bandar kini berpeluang pertama kali merasai dan mencuba kuih tradisional. Peluang ini membuka ruang bagi mereka untuk menghargai keunikan dan keaslian rasa kuih tradisional yang kaya dengan nilai budaya.
“Walaupun proses pembuatan kuih tradisional sering kali memerlukan ketelitian dan menggunakan kemahiran tangan, usaha ini memberikan pengalaman mendalam dan memperkaya pengetahuan serta penggunaan produk kraf dalam kehidupan harian,” ujarnya.
Selain Aktiviti Kraf Mingguan, pengunjung boleh menyaksikan Pameran Karya Agung – Seni Kraf Warisan Negara di Muzium Kraf Kuala Lumpur, yang juga terletak di lokasi sama secara percuma.
Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan kemudahan awam dengan menaiki MRT ke Stesen MRT Conlay atau bas Hop On Hop Off, manakala yang berkenderaan sendiri boleh memanfaatkan tapak parkir percuma yang disediakan.
Aktiviti Kraf Mingguan turut diadakan secara serentak di Kompleks Kraf Johor, Kompleks Kraf Melaka dan Kompleks Kraf Langkawi.