Akauntan ‘kantoi’ rakam rakan serumah mandi

6 hours ago 5

AMPANG – Gara-gara merakam rakan serumahnya mandi dengan peranti kamera tersembunyi, seorang lelaki dikenakan denda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Amalina Basirah Md. Top menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 30 tahun selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Tertuduh berdepan hukuman penjara selama lima bulan, jika gagal membayar denda. Lelaki itu membayar denda berkenaan.

Akauntan itu didakwa mengaibkan kehormatan mangsa berusia 31 tahun dengan merakam video ketika lelaki itu mandi di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana di sini pukul 8.10 pagi pada 20 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd. Azizi Darus memohon denda minimum kerana tertuduh yang berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung keluarga.

“Tertuduh beritahu dia melakukan perbuatan itu hanya untuk bergurau memandangkan dia dan mangsa adalah teman serumah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira fakta kes bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Perkara itu bukan gurauan, sekiranya video tersebar ia boleh mengaibkan mangsa,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Ramanathan Alias Ashwin.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang mandi melihat cahaya berkelip di rak sebelum melihat peranti kamera tersembunyi dan mengesyaki ia perbuatan rakan serumahnya.

Mangsa kemudian mengambil komputer riba dan wayar pemacu (USB) tertuduh sebelum mendapati peranti kamera tersebut mempunyai kad memori mengandungi video mandi dalam keadaan berbogel. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |