Ahmad’s Fried Chicken bakal buka cawangan di Mekah

1 day ago 9

KUALA LUMPUR – Restoran ayam goreng tempatan, Ahmad’s Fried Chicken, menyasarkan pembukaan 66 cawangan baharu termasuk di luar negara seperti Mekah dan Madinah.

Menurut Pengasas dan Pengarah Ahmad’s Fried Chicken, Taufik Khairuddin, langkah itu diambil berikutan sambutan luar biasa pelanggan sejak pembukaan cawangan pertama di Cyberjaya pada Disember tahun lalu.

Setakat ini, sebanyak 30 cawangan telah dibuka di seluruh negara meliputi empat restoran, lima restoran mini dan 21 kios.

“Kami komited untuk memperluaskan lagi jenama Ahmad’s ke kawasan bandar dan pedalaman seluruh negara bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati sajian 24 menu warisan istimewa kami. Ini merupakan restoran keempat dan cawangan di Setiawangsa ini adalah yang ke-30,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama Ahmad’s Fried Chicken, Lailatul Sarahjanna Mohd Ismail, berkata pembukaan cawangan di Tanah Suci itu adalah sebahagian daripada hasrat mereka untuk memperkenalkan cita rasa warisan Malaysia ke peringkat global.

“Cadangan membuka cawangan di Mekah dan Madinah bukan sahaja bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah di sana, malah sebagai peluang membawa nama makanan tempatan ke luar negara.

“Kami percaya menu kami yang mesra poket dan halal ini mampu diterima masyarakat antarabangsa, khususnya di lokasi tumpuan umat Islam sedunia,” jelasnya.

Tambahnya, cawangan di Setiawangsa ini beroperasi selama 24 jam dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti WiFi percuma serta ruang yang selesa, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang ingin melakukan kerja dalam suasana tenang dan selesa.

Mengulas lanjut, majlis perasmian cawangan baharu Ahmad’s di Setiawangsa turut dirasmikan oleh penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Ahmad’s Fried Chicken cawangan Setiawangsa, di sini hari ini.

Ahmad’s turut merancang pembukaan 37 lagi cawangan menjelang hujung tahun ini dengan tumpuan di beberapa kawasan di seluruh Malaysia – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |