KUALA LUMPUR – Taktik sindiket menjadikan kondominium mewah sebagai pusat memproses dadah ke dalam cecair vape terbongkar selepas diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Brickfields, di sini, kelmarin.
Sindiket itu yang didalangi individu warga Taiwan juga didapati berpindah makmal dan membuat pertukaran pekerja setiap tiga bulan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Desputi Komisioner Mat Sani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, hasil risikan selama tiga bulan, pihaknya berjaya menahan dua individu warganegara Taiwan berusia 30 dan 35 tahun.
Menurutnya, Kedua-dua suspek berperanan sebagai ahli kimia, penjaga stor dan ‘runner’ (penghantar) yang dipercayai aktif sejak April 2024.
“Pemeriksaan di kondominium tersebut menjumpai 20 bekas plastik ‘jerry can’, enam botol plastik serta 69 katrij berisi cecair vape mengandungi dadah jenis amphetamine.
“Dadah sintetik ini dipercayai dijual sekitar RM180 untuk pasaran tempatan manakala untuk pasaran luar negara boleh mencecah sehingga RM400,” katanya pada sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.
Mat Zani berkata, selain itu, pelbagai peralatan untuk memproses dadah turut ditemui meliputi mesin pengadun, alat penimbang dan mesin pembungkusan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan cecair vape mengandungi dadah adalah sebanyak 88.2 liter dengan anggaran berat 104 kilogram (kg) yang bernilai RM3.29 juta.
Katanya, penjualan bahan terlarang itu menyasarkan golongan remaja dan mampu merosakkan seramai 441,000 orang.
“Hasil analisa teknikal awal, kesan pengambila dadah itu boleh menyebabkan sawan, kegagalan fungsi hati, gangguan emosi serta kematian mengejut akibat serangan jantung dan kegagalan pernafasan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Zani berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan kondominium mewah dengan kadar sewa RM4,100 untuk memproses dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar negara iaitu Taiwan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari sehingga 4 Jun ini,” ujarnya.
Kata Mat Zani, dua suspek itu mempunyai rekod lampau di negara asal berkaitan kes dadah, senjata api dan bunuh.
Tambahnya, JSJN Bukit Aman akan bekerjasama dengan Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminual Investigation Bureau (CIB) Taiwan untuk membantu siasatan.
“Kita telah mengenal pasti saki baki sindiket ini dan tindakan mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE