Agrobank iktiraf karya cemerlang pengamal media

8 hours ago 1

PETALING JAYA – Agrobank baru-baru ini mengiktiraf 16 orang pengamal media di seluruh negara melalui Anugerah Media Agrobank 2024/2025 yang telah berlangsung di Hotel Sheraton, di sini.

Majlis berkenaan merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen para wartawan dan pengamal media yang telah memberi sumbangan dalam menyampaikan maklumat yang berkualiti berkenaan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank amat menghargai rakan-rakan media yang sentiasa menyokong, melaporkan dengan berintegriti, dan menjadi jambatan penghubung dengan masyarakat.

“Media memainkan peranan penting dalam memperkasa naratif positif berkenaan pertanian moden, keterjaminan makanan dan pelbagai inisiatif kerajaan dalam membangunkan sektor ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada majlis sama, Agrobank melancarkan Pesona AI (kecerdasan buatan) yang dikenali sebagai ‘Siti’ sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital dalam sektor perbankan.

Siti berfungsi sebagai pesona yang memudahkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat perbankan dengan lebih pantas dan efisien.

Ia mencerminkan komitmen Agrobank untuk meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkukuh kecekapan perkhidmatan dalam era digital, selari dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan pelanggan masa kini.

Majlis Anugerah Media Agrobank turut menyaksikan pelancaran Agro Biz Awards 2025, sebuah anugerah berprestij bertujuan menghargai kecemerlangan dan sumbangan luar biasa pemain industri komuniti tani dalam memperkukuh agenda keselamatan makanan negara.

Penyertaan bagi Agro Biz Awards 2025 akan dibuka mulai 16 Jun 2025 dengan mempertaruhkan lima kategori utama, iaitu Agrobank SME of the Year, Agrobank Biz Women Award, Agrobank Biz Youth Award, Agrobank Biz Innovation Award, dan Agrobank Biz Disability Empowerment Award. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |