‘Ada pesakit semuda belasan tahun sudah dijangkiti gonorrhea, sifilis, HPV’

2 days ago 11

PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 21 tahun menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan selepas dijangkiti penyakit kelamin yang dipercayai berpunca daripada hubungan seks rambang.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas kesihatan, apabila semakin ramai remaja dan belia dikenal pasti menghidap penyakit jangkitan seksual (STD), termasuk mereka yang masih di bangku sekolah.

Menurut seorang pengamal perubatan, Dr. Sakinah Sulong, kes seperti ini bukanlah terpencil, sebaliknya menjadi semakin biasa dilihat di klinik-klinik kesihatan awam dan swasta.

“Ada yang semuda belasan tahun. Mereka mungkin belum kena HIV tapi mereka dah dapat penyakit kelamin yang lain, gonorrhea ataupun sifilis ataupun HPV ataupun Hepatitis B dan C,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Katanya, situasi ini turut menimbulkan kerisauan terhadap penolakan vaksin oleh sesetengah ibu bapa, khususnya vaksin HPV dan Hepatitis B, yang sering diberikan dengan tanggapan negatif kononnya ia menggalakkan seks bebas.

Namun, jelasya, vaksin ini adalah langkah pencegahan penting terhadap penyakit serius seperti kanser pangkal rahim dan kanser hati.

“Kita bukan bagi vaksin untuk menggalakkan seks bebas tapi kita nak cegah kuman ini membawa kanser satu masa nanti. Kuman HPV dikaitkan dengan kanser pangkal rahim. Kuman Hepatitis B & C dikaitkan dengan kerosakan hati dan seterusnya kanser hati,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa anak-anak yang kelihatan ‘baik’ atau ‘terjaga’ tidak semestinya bebas daripada risiko.

“Bila ada ibu bapa yang menolak vaksin HPV dan Hepatitis B, dengan alasan kononnya anak mereka tak akan terdedah dengan aktiviti seks di usia muda, saya nasihatkan jangan terlalu yakin.

“Anak kita mungkin bersih, tapi pasangannya belum tentu. Mungkin dia pernah ‘nakal’ satu masa dulu dan boleh menjangkitkan kuman ini selepas berkahwin,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, vaksin HPV kini diberikan kepada pelajar sekolah menengah perempuan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, manakala vaksin Hepatitis B diberikan seawal bayi.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Majlis AIDS Malaysia (MAC) melaporkan peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun yang kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.

Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |